Dua pengulas e-sukan, Hafiz dan Matthews terpilih menjadi pengulas rasmi FIFAe Club World Cup 2021

By Hazril Md Nor | February 12, 2021

Dua pengulas e-sukan di Malaysia, Hafiz Sudin dan Matthews Izzac dipilih untuk menjadi pengulas rasmi bagi kejohanan FIFAe Club World Cup 2021 Grand Final yang akan berlangsung pada akhir Februari ini.

Ia merupakan satu pencapaian luar biasa buat dua anak Malaysia ini apabila dipilih sendiri oleh pengurus kejohanan dan badan rasmi bolasepak utama dunia, FIFA.

 

Ini merupakan detik manis bagi dua pengulas sukan elektronik FIFA tanahair kerana impian mereka semenjak 7 tahun lalu untuk menjadi pengulas rasmi sukan elektronik FIFA menjadi kenyataan.

Lebih mesra dipanggil ‘Abe’ dan ‘Matt’, duo terbaik pengulas sukan elektronik bolasepak FIFA ini merasakan ini peluang terbaik bagi mereka menonjolkan bakat mereka di peringkat antarabangsa.

Untuk rekod, mereka telah mengulas lebih 150 kejohanan sukan elektronik semenjak 2014.

Hafiz Sudin dipertanggungjawabkan untuk mengulas di dalam Bahasa Malaysia dan Matthews Izzac bagi Bahasa Inggeris. Kejohanan ini akan disiarkan secara rasmi di platfom Twitch FIFAe dan beberapa platfom lain yang akan diberitahu kelak.

Penstriman langsung ini akan diadakan dari 24 Februari sehingga 28 Februari 2021.

“Saya menitiskan air mata apabila menerima emel pengesahan dari FIFA yang menyatakan saya terpilih untuk menjadi pengulas rasmi di kejohanan FIFAe Club World Cup 2021.

“Saya tidak pernah menyangka ini akan berlaku dan semestinya ianya akan sentiasa menjadi kenangan terindah dalam hidup saya dan karier sebagai pengulas sukan elektronik bolasepak”, ulas Hafiz Sudin.

Sehingga kini, hanya dua pengluas dari Malaysia dimaklumkan terpilih untuk menjadi pengulas rasmi kejohanan FIFAe Club World Cup. 

Peringkat akhir kejohanan FIFAe Club World Cup ini akan disertai pasukan dari Malaysia iaitu GBX Esports Team dan Wicked Esports Team bersama dua pasukan dari Jepun iaitu Kashima Antlers dan Blu eUnited.