DOTA 2: Ketiadaan Iceiceice dan persiapan menuju Singapore Major

By Hazril Md Nor | March 15, 2021

Singapore Major adalah kejohanan Major pertama Dota 2 untuk tahun ini. Kali ini, ia akan dimainkan dalam mod offline, bermakna semua pasukan akan bertanding di satu lokasi secara bersemuka.

Bagi pasukan Fnatic yang mempunyai pemain Malaysia, Kam Boon Seng, mereka sudah menyatakan kesediaan menghadapi kejohanan ini. Biarpun terdapat kurang dari dua minggu sebelum kejohanan bermula, Fnatic sudah bersiap saga untuk membuktikan mereka adalah wakil yang hebat di rantau Asia Tenggara terutamanya.

Ikuti temubual penulis bersama Pengarah Fnatic, Eric Khor dan Kam Boon Seng (Moon):

 

Eric Khor

MyGameOn: Ketika pandemik, bagaimana persiapan untuk pasukan ini?

Eric: Kami rasa setiap pemain perlukan rehat yang cukup selepas bertarung selama dua bulan jadi kami memberikan mereka masa untuk luangkan masa dan menikmati kehidupan di luar karier. Dari segi persiapan dokumen ke Major, disebabkan kekangan perjalanan, kami sekarang cuba untuk dapatkan pelepasan tapi ia mengambil sedikit masa. Tapi, saya yakin kami dapat ke Major.

Fnatic suatu ketika bootcamp di London.

MGO: Disebabkan COVID-19, adakah pemain berlatih di gaming house atau mereka berlatih secara dalam talian?

Eric: Sekuat mana pun hasrat untuk berlatih di gaming house, ia tak boleh dilakukan sebab kekangan perjalanan di rantau ini. Disebabkan dunia sekarang berdepan lockdown, kami berlatih dan bertanding dalam talian dan ia adalah pengalaman baru dari sesi latihan biasa kami. Banyak revisi perlu dibuat dan perlu memantau kelakuan pemain untuk memastikan kami dapat berlatih dengan baik. 

Tapi kami berjaya mencipta satu rasa tanggungjawab pada pemain yang menyumbangkan kepada hasil memberangsangkan di musim pertama liga serantau.

 

MGO: Singapore Major merupakan satu kejohanan dinanti-nantikan. Bagaimana tahap Fnatic dibandingkan dengan pasukan lain?

Eric: Kami hanya berlawan dengan pasukan Asia Tenggara dan pasukan China untuk setahun jadi agak  sukar mengagak kekuatan pasukan Barat. Saya rasa pasukan Eropah dan CIS memang kuat dan saya harap untuk Fnatic melawan mereka terutamanya Team Secret yang cemerlang tahun lalu. Saya juga rasa kami kuat dan boleh memberikan saingan sengit. Kami akan cuba yang terbaik.

 

MGO: Terdapat beberapa kali pertukaran roster bagi Fnatic tahun lalu, apa yang anda boleh katakan?

Fnatic: Seperti pasukan lain, kami pun berdepan perkara sama. Kehilangan Iceiceice dari pasukan untuk menyertai EG paling lah terkesan kerana beliau seperti keluarga dan dah dua tahun bersama kami jadi memang sukar untuk isi kekosongan itu. Selepas kami siapkan kontrak untuk 4/5 pemain, kami cuba tryout dan berjaya mendapatkan dua calon Thailand dan seorang calon Malaysia.

Masaros mempamerkan prestasi baik dan diberikan kontrak sebagai pemain kelima. Beliau juga beberapa kali cemerlang dalam perlawanan rasmi kami dan memenangi beberapa anugerah MVP.

Saya rasa lineup baru ini senang untuk bekerjasama dan mereka juga sangat senang memberi kerjasama. Mereka juga pemain terbaik  di rantau ini dan saya dapat rasakan kami akan bekerja dengan mereka untuk jangka masa lebih lama lagi. Saya teruja nak tengok sejauh mana kami boleh pergi.

 

MGO: The International dibatalkan tahun lalu jadi apa harapan anda untuk tahun ini?

Moon: Saya rasa teruja dapat bermain LAN sekali lagi. Saya tak mempunyai banyak harapan tahun ini sebaliknya ingin melangkah perlahan-lahan dan memperbaiki mutu persembahan menuju TI. 

Saya juga rasa tahun ini banyak program menarik dalam dan di luar permainan yang mana kami mempunyai pendekatan lebih sistematik yang boleh mengembangkan perjalanan karier. Kami harap kami dapat tampilkan yang terbaik untuk semua yang menyokong.

MGO: Apakah antara hero yang paling popular untuk meta terkini?

Moon: Saya boleh katakan IO memang terbaik untuk kami sepanjang kelayakan sebelum ini. Selain itu, saya rasa Alchemist juga bagus cuma kami kurang kefahaman tentangnya bila digunakan ke atas TNC dan tewas.

Fnatic dijangka bertanding di Singapore Major pada 27 Mac ini. 

Foto: FNATIC