MPL Malaysia: Suhaz EVOS tidak boleh terlalu selesa, ambil iktibar Alter Ego di MPL ID

By Hazril Md Nor | March 24, 2021

Pasukan Suhaz EVOS tidak boleh terus berpeluk tubuh, selesa dan enggan mencuba sesuatu yang baru. Itulah yang penulis rasakan apabila mereka akan berlawan dengan pasukan Geek Fam MY pada minggu ketiga MPL  Malaysia musim ketujuh.

Biarpun sudah selesa dengan rekod tiada kekalahan set mahupun perlawanan, Suhaz perlu membuat perkiraaan yang betul bagi menghadapi Geek Fam. Ini kerana skuad yang diketuai oleh Muhammad Nazmie (Artz) ini mempunyai kelebihan dari segi jumlah pemain dan strategi berbeza.

Bagi penulis, tindakan Geek Fam menghadirkan skuad 9 pemain adalah bijak kerana pasukan lain sukar membaca strategi yang boleh berubah-ubah mengikut lineup. Biarpun tewas di tangan Team Bosskurr pada minggu pertama, namun itu bukanlah lineup yang ingin dimainkan.

Dalam satu temubual bersama MyGameOn, Artz berkata itu adalah lineup yang hanya berlatih kurang seminggu dan bukan final.

Sebaliknya Geek Fam menunjukkan lineup hebat pada minggu lalu dengan penggunaan Fanny oleh Xorn.

Suhaz EVOS pula diakui mempunyai pemain bintang seperti Hyhy dan D Ace yang sememangnya sudah lama dalam arena kompetitif. Keserasian mereka bermain dalam masa lebih setahun juga patut diambil kira sebagai faktor kekuatan tapi adakah ia mencukupi?

Jika kita perhatikan di MPL Indonesia musim ketujuh, Alter Ego yang mempunyai rekod tiada kalah juga tewas akhirnya apabila EVOS Legends memasukkan pemain muda berusia 16 tahu, Ferxiiic.

Mungkin orang kata, belum buku bertemu ruas. Apakah kesudahan perlawanan Geek Fam dan Suhaz EVOS pada minggu ketiga ini?

Jangan lupa saksikan perlawanan mereka pada hari Jumaat, jam 5 petang.