Retrospektif: Kejatuhan Artifact – permainan kad Dota 2 Valve

By Mike Hayate | June 30, 2021

Artifact mempunyai kelebihan yang sepatutnya permainan video kad lain tidak ada iaitu komuniti pemain dan peminat Dota 2. Artifact sepatutnya akan menjadi yang terbaik jika sasaran pemainnya adalah betul.

Namun Artifact jatuh tersungkur, pemain berkurangan, semua harga-harga kad di Steam Market menurun. Artifact boleh dikatakan mati begitu sahaja.

Valve mengambil masa terlalu lama untuk membetulkan masalah Artifact.

Sebelum itu sedikit penerangan untuk retrospektif. Retrospektif adalah apabila kita mengenang dan mengimbau kembali peristiwa masa yang lalu.

Kami akan menceritakan bagaimana Artifact gagal dan mati begitu sahaja.

 

Permulaan

Richard Garfield dan Valve mengumumkan Artifact pada November 2018.

Richard Garfield yang terkenal sebagai pencipta Magic The Gathering juga menjadi salah satu orang penting dalam pembikinan Artifact.

Untuk orang yang melihat siaran langsung The Internationals 2018 pasti teringat apa yang berlaku semasa pengumuman Artifact di acara terbesar Dota 2 itu.

Nyata rata-rata peminat berasa kekecewaan dengan pengumuman ini.

Artifact kehilangan sebanyak 75% populasi pemainnya selepas dua bulan dilancarkan oleh Valve.

Sekarang dengan hanya 20-30 orang sahaja pemain Artifact ini. Yang nyata menunjukkan permainan video ini telah mati.

Masalah yang kian meningkat

1. Masalah dari beta tertutup

Artifact telah berada di dalam beta tertutup selama setahun. Swim salah seorang personaliti permainan video kad juga telah bermain beta tertutup Artifact untuk hampir setahun.

“Malangnya setiap perubahan yang diberitahu oleh semua pemain beta tertutup tidak didengari, potensi itu ada cuma banyak permainan asas perlu ditukar,”

Selepas pelancaran, tidak banyak penukaran telah dibuat oleh Valve untuk menarik minat pemain Artifact.

Banyak kad-kad yang boleh dikatakan sangat kuat sehingga menghilangkan keseronokan untuk pemain lain.

2. Masalah RNG yang membuat pemain marah

Masalah seterusnya ialah RNG. RNG ialah ‘Random Number Generator’ yang menentukan nasib sesuatu benda secara rawak terutamanya di dalam permainan video.

RNG di dalam permainan Artifact begitu teruk sehingga RNG boleh menjadi punca kemenangan atau kekalahan dalam Artifact.

Artifact menggunakan RNG yang banyak dalam sistem mereka. Sebagai contoh anak panah di atas.

Apabila ramai pemain memberi tindak balas tidak baik mengenai nasib mereka, nyata terdapat masalah dalam sistem itu.

3. Terlalu kompleks dan mengelirukan

Artifact nyata bukan permainan video yang senang untuk dilihat oleh orang luar. Terlalu banyak benda berlaku pada satu masa.

Terdapat tiga lane untuk dilihat dan difikirkan. Sangat tidak sesuai untuk penonton apabila mereka tidak tahu apa yang terjadi di lane-lane yang lain.

Terdapat juga beberapa pengulas yang memberitahu mereka tidak tahu apa yang terjadi di dalam Artifact dan tidak tahu bagaimana untuk menerangkan apa yang berlaku kepada penonton.

4. Model ekonomik yang begitu teruk

A single Artifact card, Axe, costs almost as much as the game itself | Dot  Esports

Artifact nyata menggunakan model ekonomik yang begitu teruk sehingga semua kad-kad yang kuat dikatakan sangat mahal untuk dibeli di Steam Market. Pada suatu tahap sekeping kad Axe boleh boleh menjadi RM120 ke atas.

Sistem kewangan Artifact juga adalah sangat tamak, kedekut dan tidak masuk akal dan juga terlalu lapuk untuk era kewangan di dalam sesuatu permainan video.

Cuba bayangkan anda perlu mengeluarkan wang untuk bermain permainan Rank untuk jangka masa yang lama. Jikalau anda kalah anda boleh dikatakan kerugian duit sebenar.

Tidak lupa juga Artifact sepatutnya hanya perlu menjadi permainan percuma dan menggunakan sistem kewangan yang masuk akal untuk semua peminat.

Penjualan kad juga menjadi masalah apabila Valve mengambil 15% dari setiap hasil penjualan kad Artifact di Steam Market.

5. Jangkaan yang terlalu tinggi untuk Artifact.

Artifact adalah antara permainan video dari Valve. Jadi jangkaan orang terlalu tinggi kerana Valve adalah antara syarikat permainan video popular dan besar.

Ramai orang mencuba Artifact namun jumlah pemain Artifact semakin menurun kerana ramai pemain yang mencuba permainan ini tidak suka atau tidak pernah bermain permainan video bergenre kad.

Jikalau Artifact bermula dengan Early Access mungkin masalah ini dapat dielakkan.

Kejatuhan Artifact

Pada 3 April 2021, Valve akhirnya membuat pengumuman bahawa Artifact tidak akan disambung dan diteruskan lagi.

Pengumuman mengenai masa depan Artifact dibuat sebanyak dua kali dan kali kedua merupakan pengumuman terakhir Artifact.

Valve sudah mencuba untuk reka balik semula permainan ini dari awal. Tetapi tiada solusi terbaik yang dapat dibuat oleh Valve.

Kedua-dua versi Artifact dan Artifact 2.0 boleh dimain di Steam tetapi tiada apa-apa kemas kini baru akan dibuat.

Konklusi

Artifact kini hanya menjadi projek kegagalan Valve yang boleh dikatakan antara yang terbesar pernah Valve buat.

Artifact tidak dapat pulih apabila terdapat terlalu banyak reviu tidak baik dan reviu yang dibuat itu semuanya adalah wajar.

Valve sepatutnya perlu lebih berkomunikasi dengan para pemain Artifact namun, Valve yang terkenal sebagai pencipta permainan video yang sentiasa senyap dan hanya membuat pengumuman apabila sesuatu itu telah siap.

Artifact yang mempunyai musik yang sangat hebat untuk didengar, layout yang cantik dan juga penambahan untuk ceritera penyambungan Dota 2 menjadi tarikan.

Tetapi beberapa masalah besar yang tidak disentuh dan dibaiki membuat permainan ini jatuh dan digelar ‘mati’ oleh peminat Artifact.