Taiwan Excellence Intercollege Battleground Kumpulkan Siswa Dalam Kejohanan E-Sukan Antara Universiti

By Hazril Md Nor | May 3, 2018

E-sukan antara universiti bukanlah perkara baru. Garena misalnya pernah mengadakan pertandingan FIFA Online 3 dan League of Legends yang membabitkan siswa. Tapi untuk pengetahuan, Garena adalah publisher yang bertapak di Malaysia dan Singapura.

Hari ini penulis menghadiri acara perasmian Taiwan Excellence Intercollege Battleground 2018 (TEIB) di Pantheon, Subang Jaya yang juga dikira sebagai kejohanan e-sukan antara universiti terbesar di Malaysia. Ia menampilkan 10 juara dari kelayakan yang diadakan di 6 lokasi bertanding dalam 3 permainan iaitu Dota 2, CS:GO dan League of Legends.

Paling menarik, sebanyak RM130,000 hadiah wang tunai terkumpul menjadi rebutan semua pasukan bertanding. Pusingan akhir akan diadakan pada Oktober ini dan mengumpulkan 10 skuad teratas dari 10 universiti iaitu KDU, INTI, HELP, Taylor, TARC, MMU, UMS, UCSI, FirstCity dan Southern.

Pengarah Urusan Genysis All Evento Sdn Bhd, Justin Sau berkata, kejohanan ini adalah untuk menggilap bakat siswa bagi memahami e-sukan sebagai satu platform yang boleh diceburi secara sihat.

Pusingan kelayakan sudah bermula sejak April dan akan berakhir pada Oktober ini bagi menyaksikan 30 pasukan yang akan berentap pada acara utama nanti.

Kalau korang nak tahu, selain tiga permainan utama ini, akan ada juga kejohanan lain iaitu Arena of Valor, Street Fighter V, Tekken 7 dan permainan simulasi lumba kereta, Assetto Corsa. Pendaftaran akan dibuka pada September ini.

Penaja bagi kejohanan ini ialah Acer Predator, ASUS ROG dan MSI.