Diablo Immortal ditangguhkan lagi, bakal dilancarkan pada pertengahan 2022?

By Hazrul Md Nor | August 6, 2021

Blizzard, pembangun permainan francais popular Diablo kini mendedahkan mereka akan menunda lagi tarikh pelancaran Diablo Immortal yang sebelum ini dijadualkan pada tahun ini. Melalui perkongsian kemaskini dalam sebuah blog rasmi Blizzard, mereka menerangkan tempoh masa yang diperlukan itu adalah untuk menambah baik permainan sebelum dilancarkan kepada umum.

Diablo Immortal adalah sebuah permainan dungeon crawler atau hack and slash yang diadaptasi dari permainan popular Diablo di platform PC. Sebelum ini, mereka menerima banyak tohmahan dari peminat di seluruh dunia selepas mengumumkan tentang permainan baru ini. Rata-rata peminat ketika itu mahu Blizzard mengumumkan sekuel bagi Diablo 3 iaitu Diablo 4. Kecaman itu tidak menghentikan Blizzard untuk memulakan projek Diablo Immortal ini.

Menurut penganalisis permainan di seluruh dunia, mereka nampak kenaikan graf pengguna peranti mudah alih mula meningkat dan jumlah wang yang dikeluarkan bagi perbelanjaan in game item sangat menakjubkan ketika ini. Blizzard, salah sebuah syarikat permainan terbesar di dunia menyedari hakikat ini juga.

Itulah salah satu sebab mengapa mereka masih meneruskan projek Diablo Immortal ini. Mereka sedar bahawa Diablo Immortal akan dapat memberikan pulangan yang menguntungkan kepada syarikat, sama seperti permainan popular lain contohnya PUBG Mobile dan Fortnite.

Bermula dari Alpha Test baru-baru ini, Blizzard sudah mengambil banyak maklum balas dari pengguna untuk mereka menambah baik permainan itu dari pelbagai segi antaranya membaik pulih bugs yang terdapat di dalam permainan dan akses yang lebih mudah untuk kandungan PVP seperti Cycle of Strife dan Helliquary menjadi lebih menarik.

Berdasarkan pengumuman ini, mampukah anda semua menunggu lagi tarikh pelancaran Diablo Immortal yang sudah diumumkan sejak tahun 2018 di BlizzCon. Mungkin ianya berbaloi untuk ditunggu kerana di dalam tempoh itu, Blizzard sudah mencuba sebaik mungkin untuk memberikan pengalaman Diablo versi peranti mudah alih yang sudah lama diimpikan sebelum ini.