Filem Cargo Mengangkat Tema Seperti The Last of Us – Membintangi Martin Freeman Sebagai Watak Utama

By Hazril Md Nor | May 21, 2018

Kita semua tahu elemen drama dan zombi jarang dikaitkan bersama. Ini kerana wabak zombi selalunya menghancurkan dunia dan memfokuskan sekumpulan manusia cuba mencari penawar untuknya. Tapi kali ini sangat berlainan apabila filem Cargo yang membintangi Martin Freeman (Hobbit) menunjukkan formula ini dilaksanakan dengan sebaiknya.

Mengangkat tema ayah dan anak seperti dalam The Last of Us, Cargo tidak dikaitkan dengan mana-mana permainan video tapi mesejnya sama; seorang ayah sanggup berkorban apa saja untuk menyelamatkan anaknya. Elemen ini yang mengasingkan Cargo dari filem zombi lainnya, berada dalam kelompok tersendiri.

AMARAN: TIADA SPOILER. TERUSKAN MEMBACA

Cargo mengikuti perjalanan Andy (Martin Freeman) dan Kay (Susie Porter) yang terpaksa tinggal di dalam boathouse untuk mengelak dari bertembung dengan zombi. Pasangan ini mempunyai bayi yang bernama Rosie. Kembara mereka bertukar tragedi apabila wabak zombi itu bukan hanya di darat tapi turut berada di mana-mana.

Tanpa mendedahkan spoiler kepada korang, penulis ingin highlightkan mutu lakonan Freeman yang sudah dua kali memenangi Emmy Award. Lakonan beliau bersahaja, tak terlalu mencuba dan cukup padu untuk menarik minat penulis terus menonton sehingga habis.

Dalam filem ini, elemen utamanya terletak antara hubungan Andy, Rosie dan Thoomi, orang asli Australia yang ingin menyelamatkan ayahnya yang dah bertukar menjadi zombi. Seperti juga The Last of Us, Andy sanggup meredah manusia yang kehilangan kewarasan, zombi yang berkeliaran dan risiko untuk menyelamatkan Rosie dan Thoomi.

Ia menjadi menarik apabila Andy digigit dan mempunyai masa 48 jam untuk mencari manusia yang boleh menjaga Rosie dan dari situ Cargo menunjukkan kesungguhan Andy dan kesukarannya melawan simptom zombi yang meragut jiwanya sepanjang filem. Berbeza dengan rata-rata filem Zombi lain, Cargo menggunakan latar tempat benua Australia dan culture yang bersangkut paut dengannya.

Sepanjang menonton, penulis kagum dengan pengarahnya, Yolanda Ramke yang mengutamakan culture orang asli di dalamnya dan menjadikan ia kekuatan filem ini. Selain itu korang boleh nampak yang dalam filem ini, wabak zombi ini ada berkait rapat dengan alam sekitar seperti dilihat dari simptom dialami oleh mereka yang digigit. Di kemuncak filem, korang akan faham intipati filem ini yang disampaikan dengan baik dan kenapa elemen The Last of Us (Joel selamatkan Ellie) berada di dalamnya.

Kalau nak tahu macam mana filem ni berakhir, korang boleh tontonnya di Netflix sekarang. Di bawah adalah trailer untuk Cargo dan juga short film Cargo yang pada mulanya diarahkan oleh Yolanda Ramke untuk Australian Film Festival:

Akhir kata, selamat menonton di Netflix!