Niantic mengumumkan perubahan selepas peminat Pokemon GO mengeluh

By syazwanbahri | September 2, 2021

Pembangun Pokemon Go mengumumkan satu set perubahan dan rancangan masa hadapan berikutan keluhan pemain terhadap perubahan berkaitan penularan virus COVID-19.

Selepas mengumumkan bahawa radius interaksi untuk PokeStops dan Gyms akan dikekalkan pada jarak 80 meter dan bukan 40 meter yang dicadangkan sebelumnya, Niantic juga mengatakan bahawa mereka bercadang untuk melancarkan bonus bermusim pada peringkat global, dan bukan mengikuti negara.

Niantic juga menetapkan rancangan untuk terus berhubungan dengan komuniti melalui kemaskini serta perbualan dengan pemimpin komuniti.

Mereka akan mula mengeluarkan kemaskini setiap bulan bermula bulan Oktober.

Kemaskini itu akan menerangkan rancangan syarikat tersebut seperti keutamaan semasa, acara, dan ciri yang dirancang untuk Pokemon GO. Selain itu, halaman Known Bugs di laman web Pokemon GO akan dikemas kini untuk menerangkan status pepijat lebih jelas.

Berikutan kekecewaan mengenai radius interaksi PokeStops dan Gyms diturunkan, Niantic berhubung dengan 30 pemimpin komuniti dari seluruh dunia. Niantic berhasrat untuk meneruskan perbualan ini secara berkala.

Steve Wang, penerbit eksekutif Niantic mengeluarkan kenyataan yang berbunyi “Kurangnya komunikasi mengenai radius interaksi PokeStop dan Gym tidak ditangani dengan baik dari pihak kami, dan ini adalah pengalaman berharga tentang bagaimana untuk lebih terlibat dengan pemain kami,”

Steve Wang juga berharap pemain akan terus keluar dan bermain Pokemon GO selepas radius dikekalkan pada 80 meter.

Beliau berkata “Kami masih yakin akan kepenting mencari tempat dan perkara menarik di dunia nyata, dan kami tidak mahu melupakan perkara itu. Pasukan kami di Niantic ingin mengembangkan kaedah baru yang memberi ganjaran kepada pemain hasil meneroka dan bersenam di dunia nyata.

“Kami juga mempunyai idea baru untuk diterokai dan kami berharap dapat berkongsi lebih banyak lagi dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Selain itu, pengalaman Niantic menguruskan tetapan di New Zealand sebagai tindak balas terhadap penutupan negara mendorongnya untuk meninggalkan pendekatan per negara dan memilih perubahan secara global. Bermula dengan Season of Mischief, semua bonus akan ditetapkan pada peringkat global dan terikat secara langsung dengan musim dalam permainan.

Niantic mengaplikasikan perubahan yang drastik demi memudahkan pemain sewaktu saat-saat genting dalam penularan wabak COVID-19. Perubahan ini diterima dengan penuh semangat oleh komuniti kerana ia bukan sahaja membenarkan bermain semasa kuarantin, tetapi juga membuka permainan kepada pemain kurang upaya.