PUBG: New State? Ini info anda perlu tahu tentang pencabar PUBG Mobile

By syazwanbahri | September 7, 2021

PUBG Mobile adalah antara permainan genre battle royale amat popular dalam kalangan peminat permainan mudah alih.

Dikenali dengan nama penuhnya, PlayerUnknown’s Battlegrounds, permainan ini berasalnya dari pelantar Steam di PC dan kemudiannya diadaptasikan ke pelantar mudah alih pada tahun 2018. Sejak itu, lebih 500 juta pemain sudah memuat turun permainan itu di Google Play Store dan Apple App Store.

Pada bulan Februari 2021, Krafton mendedahkan sebuah lagi permainan genre battle royale, iaitu PUBG: New State.

Pengumuman ini mendapat perhatian ramai setelah mengetahui bahawa permainan ini seolah-olah PUBG Mobile 2 yang menawarkan pelbagai penambahbaikan kepada permainan battle royale itu.

Krafton juga mengumumkan baru-baru ini bahawa 29 juta pra-pendaftaran sudah didaftarkan dan mungkin akan mencecah jumlah 30 juta pada hujung tahun ini.

Apa Yang Boleh Dijangkakan Dari PUBG New State?

Krafton menjanjikan pelbagi penambahbaikkan yang bakal diimplementasikan di pemainan mudah alih itu. Antara fokus utama Krafton adalah membawakan visual serta grafik yang realistik dan futuristik ke pelantar mudah alih. 

PUBG New State dibangunkan oleh PUBG Studio, dan bukan Tencent. PUBG Studio adalah pembangun yang bertanggungjawab melancarkan PUBG ke pelantar Steam pada tahun 2017. Jadi, kita boleh beranggapan bahawa PUBG New State akan hadir dengan grafik yang maju serta permainan yang lancar seperti yang ditawarkan di pelantar Steam.

Selain itu, permainan ini juga akan dimainkan dalam suasana yang futuristik, lengkap dengan kenderaan empat roda dan dua roda yang sungguh berbeza jika dibandingkan dengan kenderaan yang ada di PUBG Mobile.

Krafton juga akan mengubah aresenal senjata kepada yang lebih futuristik, namun beberapa senjata ikonik dari PUBG Mobile akan terus kekal di PUBG New State seperti SCAR dan DP-28.

Dari segi susun atur peta pula, terdapat perubahan drastik daripada peta-peta yang peminat sudah kenali seperti Erangel, Sanhok, Miramar dan lain lagi.

Ini kerana susun atur peta di PUBG New State lebih urban berbanding peta-peta lama dan anda boleh menjangkakan pelbagai banguan pencakar langit serta kompleks-kompleks bangunan yang akan mengubah cara dan meta permainan battle royale. Susun aturnya seolah-olah Call of Duty: Warzone, tetapi bertemakan futuristik.

Antar muka permainan juga mendapat kemas kini. Sebagai contoh, kaunter peluru atau meter kelajuan akan terapung di sisi watak pemain yang menjadikan antara mukanya lebih kemas serta futuristik.

Dari: Levinho

Cuba lihat tangkapan layar dari sebuah versi awal PUBG New State ini.

Mengapa PUBG New State penting sebagai permainan mudah alih?

PlayerUnknown’s Battleground bukan sahaja permainan yang popular, tetapi ia juga adalah antara ‘pengasas’ kepada genre battle royale ini. Manakala, PUBG Mobile pula sudah menjadikan permainan mudah alih kepada sesuatu yang semua dapat merasai, dari umbi akar hingga ke pemain berkemahiran tinggi.

PUBG Mobile juga mengubah landskap e-sukan di Malaysia serta melonjakkan status e-sukan di rantau Asia Tenggara dengan pelbagai liga bertaraf antarabangsa seperti PMPL MYSG dan lain lagi.

PUBG New State ini pula memainkan peranan yang lain dari dua permainan yang dinyatakan tadi.

Ia adalah pintu gerbang kepada pelantar mudah alih untuk memainkan permainan generasi hadapan yang lengkap dengan grafik mantap serta antaramuka yang lancar.

Sebagaimana PUBG PC sudah membuka jalan untuk genre battle royale, PUBG New State pula akan membuka jalan untuk permainan generasi hadapan untuk dimainkan di pelantar mudah alih.

Dengan teknologi mudah alih yang semakin berkuasa dan mampu milik, kita dapat jangkakan bahawa permainan di pelantar mudah alih ini akan terus maju, dan pada satu hari kita mungkin akan memainkan permainan AAA di telefon pintar kita.