“Niat Saya Memang Nak Bantu Mak, Dia Sumber Inspirasi Saya,” – Muhamad Khairul

By Hazril Md Nor | May 28, 2018

Minggu lepas, pusingan kelayakan Malaysia bagi Pro Evolution Soccer (PES) 2018 akhirnya berakhir. Kelayakan itu diadakan dalam persiapan menghadapi Sukan Asia 2018 yang mana 6 permainan video dijadikan demonstrasi dalam temasya itu.

Muhamad Khairul Abdul Aziz (Keron), 24 bersama pasangan duonya, Mohamad Norhaikal Mohamad Noh (Haikal), 20 layak ke pusingan kelayakan peringkat Asia Tenggara (regional) selepas menewaskan pasukan Awat Lag, yang dianggotai Muhammad Hafifi Hamdan dan Mohd Syairazi Wazini Mohd Raffe di Nagaming, Taman Melawati, Selangor.

Khairul (dua dari kiri) bersama Norhaikal

Dengan kemenangan itu, mereka yang membawa nama Alpha Gaming membawa pulang wang tunai RM900 dan perlu berentap dengan 11 lagi pasukan Asia Tenggara bulan depan secara dalam talian untuk layak terus ke Sukan Asia 2018. Mereka akan bermain menggunakan format co-op.

Ketika ditemui di majlis penyampaian hadiah, Khairul kelihatan tersenyum lebar dan tidak sangka bergelar juara. Pemain ranking nombor satu kategori individu dalam pertandingan offline untuk PES Malaysia ini juga tak lokek berkongsi pengalamannya bersama penulis.

Keron menduduki tempat teratas bagi kategori individu offline tahun 2018

Selain layak ke pusingan kelayakan Asia Tenggara, Khairul turut bercerita keinginannya bermain PES, antara permainan video yang biasa didominasi golongan berusia 30 tahun ke atas.

Bagi Khairul, tujuannya menyertai pertandingan PES di seluruh negara hanyalah satu, untuk meringankan beban ibunya, Azizah Ibrahim, 63.

“Ibu sekarang mengusahakan bisnes kedai makan di sini (Kuala Perlis), dekat saja dengan rumah. Sejak ayah meninggal dunia, saya banyak membantu ibu tolong-tolong dekat kedai makan. Lagipun saya satu-satunya anak tunggal dalam keluarga.

“Sejak berkecimpung dalam pertandingan PES tahun lalu, saya pergi ke serata negara seperti Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur untuk mengumpul mata bagi menaikkan ranking dalam PES Malaysia. Selalunya memang minta izin ibu dulu sebelum pergi pada waktu hujung minggu. Alhamdulillah, dia memang memahami dan akan bagi sokongan,”

Khairul bersama ibunya, Azizah Ibrahim

Niat murni Khairul untuk membantu ibunya ternyata membuahkan hasil apabila berjaya mengumpul lebih RM10,000 sepanjang kariernya. Ketika ditanya perancangan kewangannya, Khairul berkata, dia berniat untuk membantu ibunya setiap bulan dan membuat simpanan sendiri.

“Walaupun saya tahu ibu boleh menampung keperluan di rumah dengan bisnes diusahakannya, tapi sebagai anak saya terpanggil untuk meringankan beban. Mana berkatnya kalau kita tak tolong ibu? Itu yang saya fikir,”

Katanya, buat sementara dia memang berniat untuk teruskan perjuangan bermain PES dan akan mencari pendapatan sampingan di sekitar Kuala Perlis.

“Kalau dulu, saya banyak merantau juga mencari kerja. Kedai makan, katering, hotel, security, semua saya dah cuba. Tapi sejak ayah meninggal, memang saya kena perlu berada dekat dengan ibu. Saya rasa dah tiba masa untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dan utamakan ibu,”

Nota editor: Karier dalam e-sukan itu bersifat fleksibel dan Khairul membuktikan perkara ini sebaiknya. Asalkan kita ada niat nak tolong keluarga, pastinya tak susah nak yakinkan mereka mana hala tuju kita. Sebagai anak tunggal dalam keluarga, dia belajar berdikari pada usia muda dan wujud rasa tanggungjawab untuk bantu ibunya. Untuk Khairul, Norhaikal dan Alpha Gaming, all the best di kelayakan Asia Tenggara nanti!