RED Esports mohon maaf dan akan bergerak di belakang tabir buat sementara waktu

By Hazrul Md Nor | October 13, 2021

RED Esports adalah salah satu pasukan yang banyak kali berentap di arena kompetitif e-sukan Mobile Legends.

Selepas gagal lolos ke peringkat playoff  Liga Profesional (MPL) MY S8 baru-baru ini, mereka membuat satu pengumuman tentang hala tuju pasukan itu di masa akan datang.

Pengumuman itu dibuat di dalam sebuah hantaran di akaun rasmi Facebook mereka. Mereka memohon maaf di atas kekalahan di liga MPL MY musim kelapan.

“Kepada penyokong dan peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami dan yang sentiasa melihat kami bermain dari awal pasukan ini ditubuhkan, kami ingin memohon maaf kepada anda semua di atas kekalahan di liga MPL MY musim kelapan. Pasukan RED Esports akan menunda aktiviti umum sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Langkah ini diambil bagi meningkatkan prestasi kami sebagai pasukan profesional. Kami menghargai sokongan yang diberikan anda semua dan akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memberi kontribusi yang posif kepada komuniti MLBB.

“Ianya kerana itu adalah asbab untuk kami terus maju ke hadapan selama ini. Di samping itu, kami ingin menjadi inspirasi buat generasi muda untuk bangkit dan menjadikan visi dan menjadi versi diri sendiri yang terbaik di kalangan mereka,”.

Terdahulu, pasukan RED Esports tewas di tangan pasukan RSG MY dengan skor 0-2. Ini menyebabkan pasukan Bosskurr berjaya mendahului skor mereka dan melayakkan diri ke peringkat playoff secara automatik, meninggalkan pasukan RED Esports dan EBLZ yang gagal mara.

Kami dari pihak MyGameOn berharap pasukan RED Esports tidak mudah putus asa dan kembali bersinar di MPL MY musim kesembilan dengan semangat baru yang lebih kuat dari musim kali ini. Selamat maju jaya pasukan RED!