PUBG MOBILE kini sebuah acara berpingat di Sukan Asia 2022

By Taib Mohamed | November 9, 2021

PUBG MOBILE kini sudah menjadi antara program e-sukan yang terbesar di dunia dengan menyaksikan perkembangan yang cukup besar sepanjang 2021 ini. Mereka kini sudah menawarkan sebanyak AS$15 juta hadiah terkumpul sepanjang tahun ini selain penambahan 14 liga baharu. 

Kini, PUBG MOBILE juga sah menjadi salah satu daripada lapan acara sukan di temasya Sukan Asia 2022 Hangzhou yang dijadualkan akan berlangsung bermula 10 hingga 25 September 2022.

Bagi Sukan Asia kali ini, atlet akan bermain PUBG MOBILE Asian Games Version untuk bersaing mendapatkan pingat emas buat negara mereka.

Sukan Asia adalah temasya pelbagai sukan yang akan dianjurkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa setiap empat tahun. Sukan Asia 2018 Palembang menjadi titik permulaan bagi penambahan acara e-sukan bagi temasya ini. 

“Kami berbesar hati apabila PUBG MOBILE dimasukkan di dalam Sukan Asia 2022,” kata James Yang, Pengarah Esukan Global Tencent Games. 

“Kami rasa sangat bertuah kerana mempunyai sejumlah pemain yang cukup berbakat daripada beberapa negara di rantau ini dan tidak sabar untuk menyaksikan mereka bersaing di temasya ini. Peminat kini boleh menyaksikan pertandingan antara pemain terbaik PUBG MOBILE di rantau ini diraikan bersama atlet terbaik Asia,” katanya.

Selain PUBG MOBILE, antara acara e-sukan yang dipertandingkan ialah Arena of Valor Asian Games Version, DOTA 2, Dream Three Kingdom 2, EA SPORTS FIFA, Hearthstone, League of Legends dan Street Fighter V.