Syarikat papan kekunci Malaysia ini berjaya menyumbang RM11,700 kepada usaha pemuliharaan hidupan liar tempatan

By syazwanbahri | December 4, 2021

Rebult Keyboards, sebuah syarikat suis papan kekunci tersuai tempatan, berjaya mengumpul RM11,700 dan menyumbangkan jumlah wang itu kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha pemulihan dan pemeliharaan haiwan liar tempatan.

Antara NGO yang menerima sumbangan adalah WWF, Panthera, Juara Turtle Project, Bento Animal Rescues Organisation (BARO) dan Turtle Conservation Society of Malaysia.

Mereka asalnya bercadang untuk menyumbang sekurang-kurangnya AS$1,000 (RM4,231) tetapi selepas menerima sokongan yang memberangsangkan dari pelbagai pihak serta rakan mereka di ThocKeys dan Mech.Land, mereka berjaya menyumbang sejumlah besar RM20,500.

 
 
 
View this post on Instagram

A post shared by Rebult Keyboards (@rebultkeyboards)

Rebult Keyboards mengambil inisiatif mengumpul dana melalui penjualan dua suis papan kekunci yang bertemakan haiwan liar terkenal dari Malaysia iaitu Penyu dan Harimau.

Kedua-dua suis ini bukan sahaja terkenal di Malaysia, malah ia juga menjadi buah mulut penggemar papan kekunci mekanikal di seluruh dunia.

Suis ini dijual di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Eropah, United Kingdom, Filipina, Canada, China, Australia, Mexico dan India.

Idea suis Penyu dan Harimau muncul sewaktu mereka menggabungkan elemen dari beberapa suis papan kekunci yang berbeza demi mendapatkan ciri yang diinginkan.

Hasil kaedah ini digelar sebagai frakenswitches.

Menurut Jimmy dari Rebult Keyboards, mereka gemar mengambil inspirasi dari Malaysia untuk produk mereka.

Suis Penyu adalah suis linear manakala suis Harimau adalah suis taktil.

“Dari awal lagi kami memutuskan bahawa sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan kepada badan amal dan organisasi yang berkaitan, kerana beberapa spesies hidupan liar termasuk yang unik kepada negara kita semakin terancam,” kata Jimmy.

Jimmy juga berkata bahawa mereka bukan sahaja menumpukan sumbangan mereka kepada haiwan liar tempatan.

Malah, mereka juga menyumbang kepada komuniti sewaktu kemuncak wabak COVID-19.

Walau bagaimanapun, Jimmy mengutarakan bahawa mereka sentiasa akan mencari organisasi amal dan usaha murni untuk dibantu.

Untuk masa akan datang, Rebult Keyboards bercadang untuk mengembangkan barisan produk mereka agar dapat memudahkan komuniti papan kekunci tersuai tempatan.

Mereka juga akan menganjurkan group buy agar pembeli tempatan mampu membeli produk papan kekunci dari luar negara agar dapat mengurangkan cukai dan kos penghantaran.

Selain itu, Rebult Keyboards akan berkolaborasi dengan artis-artis tempatan pada tahun hadapan.

Syarikat itu juga bakal melancarkan produk terhad baharu yang diinspirasikan oleh negara kita.

Jimmy berharap bahawa mereka dapat bertemu dan bersantai bersama peminat-peminat papan kekunci tersuai ini suatu hari nanti.

Menurut beliau, komuniti ini berkembang dengan sungguh pesat dan makin ramai yang menyertai hobi ini.

Ikuti Rebult Keyboards di Instagram rasmi mereka untuk kemas kini terbaru dari syarikat itu atau terus ke laman web rasmi mereka di sini.