Saintis ingin menyiarkan tikus bermain DOOM II di Twitch

By syazwanbahri | December 16, 2021

Di dalam dunia sains, sememangnya menjadi satu kebiasaan untuk mencuba perkara yang tidak pernah dicuba orang lain atas nama kemajuan.

Kadang-kala, perkara itu tidak pernah dicuba orang lain bukan kerana tidak mempunyai sumber atau peralatan yang lengkap, tetapi kadang-kala, ia kerja gila.

Inilah yang cuba dilakukan oleh seorang saintis di Hungary apabila beliau mengajar tiga ekor tikus untuk bermain DOOM II dan beliau ingin menyiarkannya di Twitch.

Viktor Tóth, seorang pakar saraf dari Hungary, ingin menyiarkan kemajuan beliau di Twitch setelah mengajar beberapa tikus bergerak di koridor permainan DOOM II tanpa apa-apa bantuan. 

Eksperimen ini dijalankan oleh Tóth untuk mencipta sebuah sistem VR yang melatih tikus bergerak di ruang maya 3D tanpa menggunakan kaedah pembedahan otak kepada haiwan-haiwan itu.

Hasil kajian ini mungkin akan menghasilkan kaedah yang lebih mudah pada masa akan datang.

Menurut laman Futurism, Tóth menyatakan bahawa beliau ingin strim usaha tikus di Twitch untuk membantu membiayai projeknya dan meningkatkan profilnya.

Apabila ditanya tentang kemajuan tikus di DOOM II, Tóth berkata bahawa tikusnya tidak mampu menghabiskan perjalanan koridor itu. 

“Romero, salah satu daripada tiga tikus yang saya latih, melakukan yang terbaik. Saya sebenarnya dapat mula melatihnya melakukan bahagian menembak pada peranti yang berasingan,” kata Tóth.

“Ideanya ialah jika mereka menolak kaki depan mereka ke atas dan kaki belakang ke belakang, maka abah-abah yang disambungkan boleh menekan butang di atasnya. Butang itu akan menembak senjata,” kata Tóth kepada Futurism.

Namun, si tikus Romero agak keliru apabila bertemu musuh kerana konsep menewaskan musuh demi melepasi sesuatu cabaran itu tidak ditangkap oleh tikus itu.

Ia juga menjadi cabaran kepada Tóth untuk melatih tikus-tikus ini untuk bergerak di alam maya. Pada asalnya, beliau sangkakan ia hanya memerlukan sekitar seminggu untuk melatih tikus-tikus ini untuk bergerak tetapi ia memakan masa lebih kurang dua minggu.

“Saya mula meletakkan mereka di atas bola penggerak tetapi saya tidak boleh membuat mereka berlari. Mula-mula, saya perlu mengajar mereka makan dari bola penggerak itu,” kata Tóth.

“Kemudian saya mula melatih mereka untuk berlari tetapi mereka akan menjadi takut dan melompat dari bola apabila mereka mendengar penggerak linear menyala, atau motor mula berjalan. Selepas beberapa ketika mereka terbiasa dengannya,” terang Tóth tentang melatih tetikus itu menggunakan bola penggerak

Tóth juga bercadang untuk menyiarkan usaha tetikus itu di pelantar penstriman Twitch agar dapat membiayai perbelanjaan kajian itu.

“Saya rasa ia adalah cara yang sangat sah untuk membiayai projek seperti ini. Satu-satunya masalah ialah berapa lama tikus boleh berlari,” kata Tóth kepada Futurism.

“Romero pernah berlari selama 15 minit berterusan dan ini sangat bagus. Romero berlari untuk sekian lama dan tidak letih atau mahu turun. Oleh itu, jika anda benar-benar boleh membawa tikus ke titik di mana ia benar-benar menyatakan rasa ingin tahu dalam permainan, maka ia boleh menjadi sangat menarik.”

Ikuti Viktor Tóth di YouTube rasminya dalam usaha beliau menjayakan kajian beliau.

Sumber rujukan: Futurism