Pencipta ‘hack’ PUBG Mobile didenda AS$10 juta, mahkamah arah mendedahkan kaedah mencipta aplikasi penipuan
Permainan dalam talian sering dibelenggu masalah ini: penipuan atau lebih dikenali sebagai ‘cheat’ dan PUBG Mobile tidak terkecuali. Walaupun pembangunnya, Krafton, sudah melakukan pelbagai usaha seperti menggantung pemain yang menggunakan kaedah terkutuk ini, isu ini masih berleluasa.
Malah, Krafton mengambil langkah untuk menutup akaun-akaun media sosial yang menjual aplikasi penipuan ini.
Mereka juga mengambil langkah drastik dan membawa isu ini ke pihak mahkamah. Mujurnya, mereka berjaya memenangi kes itu dan pembangun aplikasi penipuan itu didenda sebanyak AS$10 juta (RM42 juta) yang perlu dibayar ke Tencent dan Krafton.
Pembangun ‘hack’ itu juga diarahkan untuk menghentikan sebarang aktiviti lanjut mengenai pembangunan penipuan dan mendedahkan segala butiran tentang sebarang eksploitasi yang mereka gunakan untuk membolehkan pembangunan aplikasi penipuan dalam PUBG Mobile.
Melalui wang yang akan diterima ini, Tencent dan Krafton akan melaburkan wang ini kepada usaha pembangunan teknologi anti-penipuan. Antara teknologi baru hasil dua syarikat ini adalah ‘device ban’ yang menghalang peranti daripada log masuk atau mencipta akaun baru di PUBG Mobile.
Nampaknya usaha Tencent dan Krafton dalam menangani isu penipuan ini membuahkan hasil.
Sumber rujukan: Dotesports