Pemain Battlefield 2042 ‘mengamuk’ di Steam, menuntut pulangan wang kerana menjual permainan ‘tidak siap’ yang bakal jadi ‘percuma’
Battlefield 2042 dilancarkan pada November tahun lepas dalam keadaan yang amat tidak sempurna.
Peminat dan pemain sungguh kecewa sehinggakan permainan yang ditunggu-tunggu ramai ini berjaya mengambil tempat sebagai salah satu permainan yang paling teruk di Steam tahun lepas.
Dengan berita yang dikatakan bahawa Battlefield 2042 mungkin akan menjadi percuma, pemain yang sudah berbelanja untuk permainan yang ‘tidak siap’ itu mengamuk dan menuntut ganti rugi dari EA.
“Sepatutnya kita tidak perlu mencuba beberapa kali. Permainan ini bukan seperti yang diiklankan dan tidak sepatutnya dijual,” kata seorang pengguna Reddit tentang beberapa cubaan mereka yang gagal untuk menuntut kembali wang.
Ramai pemain cuba meminta pulangan wang di luar polisi biasa Steam iaitu tiada pulangan wang selepas 2 jam bermain permainan, kerana EA dilihat menutup sebelah mata tentang pulangan wang Battlefield 2042.
Namun, ramai masih gagal menerima pulangan wang mereka.
Beberapa pengguna Reddit juga menyarankan untuk menghubungi Steam secara terus dan menerangkan keadaan permainan agar lebih mudah untuk menerima pulangan wang.
Dengan insiden seperti Cyberpunk 2077 dan Battlefield 2042, diharapkan pembangun permainan tidak melancarkan permainan dengan keadaan tidak sempurna lagi pada masa hadapan.
Sumber rujukan: Dexerto