“Kami ingin menjadi wakil Malaysia ke Kejohanan Dunia Pokemon Unite 2022,” – Zackfrost

By Hazrul Md Nor | February 17, 2022

Pokemon Unite adalah salah satu permainan peranti mudah alih yang kian meningkat popularitinya di kalangan pengguna telefon pintar. Ia mula dilancarkan di pelantar Switch pada 21 Julai lepas dan membuat kemunculan di pelantar Android dan IOS pada 22 September lepas.

Berbeza dengan permainan peranti mudah alih genre MOBA yang lain, Pokemon Unite memerlukan kerjasama di antara pasukan untuk membuat scoring. Pemain dikehendaki mengumpul mata scoring dengan menumbangkan pokemon lain dan mengejar objektif.

Pasukan yang mempunyai mata scoring terbanyak akan memenangi perlawanan.

Kami dari pihak MyGameOn sempat menemu bual pasukan kompetitif GreedyGhost yang menjadi juga salah satu skuad hebat berhasrat untuk layak ke Kejohanan Dunia Pokemon Unite.

Kapten pasukan iaitu Mohd  “ZackFrost” Khairulzaman berkata dia mula bermain ketika permainan ini mula dilancarkan di platfrom switch.

“Saya berasal dari Kuantan dan berusia 31 tahun, bertugas sebagai penjawat awam. Walaupun sudah hidup berkeluarga, isteri sentiasa memberikan sokongan untuk saya bergerak secara kompetitif.

“Walaupun kadangkala mengalami kekangan waktu untuk bermain namun ia tidak menghalang saya kerana bermain game sudah menjadi hobi saya sejak dahulu lagi,” ujar Zack.

Zackfrost (Captain, Offlane)

“Sebelum saya bermain Pokemon Unite, saya ada bermain permainan video seperti Dota, Vainglory dan pernah menyertai Vainglory Malaysian League.

“Namun begitu, tidak lama kemudian SEMC memutuskan untuk tidak lagi membangunkan permainan peranti mudah alih itu. Di saat itulah, saya berasa sedikit kecewa dan terus beralih arah ke Mobile Legends.

“Akan tetapi, bermain Mobile Legends tidak lama kerana masih kecewa dengan penutupan server Vainglory. Pokemon Unite bagaimanapun berjaya mengubah persepsi saya terhadap genre MOBA yang lain. Ia berjaya menambat hati saya dan mengimbau kembali zaman-zaman melihat anime Pokemon dahulu kala,” tambah Zack.

Ditanya tentang latihan yang dilakukan setiap hari, Zack berkata, latihan biasanya bermula jam 8 malam dan berakhir pada jam 12 tengah malam dari Isnin hingga Jumaat kerana kami semyanya bekerja. Katanya, pada hari minggu, mereka akan sesuaikan waktu mengikut komitmen masing-masing.

Tambahnya, skuad GreedyGhost ditubuhkan selepas pembubaran Team Horizon.

“Sejurus sahaja Sea Invitational tamat, saya menubuhkan skuad GreedyGhost ini untuk mengambil bekas ahli pasukan Team Horizon. Mereka memerlukan pasukan dan platform untuk bermain.

“GreedyGhost akan menjadi satu platform yang baru untuk mereka. Walaupun skuad ini hanya bermain selama lima bulan bersama, namun kami sudah memahami antara satu sama lain.

“Baru-baru ini kami sempat masuk ke Winter Asia namun kalah di peringkat ke-16. Ini tidak menjadi pematah semangat kami kerana skuad GreedyGhost boleh dikatakan mempunyai pemain-pemain yang hebat yang mempunyai lebih dari 2,000 mmr ketika ini,” katanya.

Menyebut tentang penaja, mereka sangat terbuka untuk menerima sebarang penaja yang ingin berkolaberasi.

“Kami sangat mengalu-alukan, ada juga pasukan dari Singapura yang meminta khidmat jurulatih dari kami dan akan menggunakan nama GreedyGhost di dalam apa jua pertandingan yang mereka sertai.

“Tujuan GreedyGhost menyertai pertandingan adalah untuk mengharumkan nama Malaysia kerana kami semua sangat patriotik, kalah atau menang itu adat pertandingan. Meskipun tanpa jurulatih, pengurus dan penganalisis, kami yakin dengan kebolehan kami sebagai satu skuad,” kata Zack.

Enzo (Support)

Menurut Ahmad Safwan “Enzo” Ahsanuddin yang berusia 31 tahun, Zack dan rakan-rakan sangat memahami sekiranya dia dan ahli skuad yang lain memerlukan masa sebentar ketika latihan terutamanya untuk melayan anak-anak dan menyiapkan kerja rumah.

Faktor itu yang menguatkan lagi hubungan mereka di antara satu sama lain.

“Skuad GreedyGhost ini sangat memahami tugas saya sebagai seorang suami dan tidak pernah merungut ketika saya memerlukan masa sebentar untuk melayan anak-anak dan isteri. Kami tidak pernah melakukan latihan secara offline sebaliknya dilakukan secara online dan ia sangat berkesan. Kami tidak pernah menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi,” katanya. 

Xero (Defender/Support)

Ahmad Farez “Xero” Dahlan yang berusia 36 setakat ini juga turut memberikan pandangan dia sebagai pemain veteran di dalam skuad itu.

“Saya masuk ke dalam skuad ini sejak ia mula-mula ditubuhkan. Pada saat awal penubuhan, saya yakin dengan skuad ini dan merasakan aura positif dari setiap pemain. Ia menjadi lumrah apabila kita tewas di dalam perlawanan namun tidak ada seorang pun yang toxic dan mengeluarkan kata-kata kesat kerana kami sedar kalah menang itu adat permainan.

“Walaupun tiada pengurus, ramai di antara ahli pasukan kami mampu untuk mengurus keadaan diri masing-masing dan bersatu sebagai satu pasukan bersama-sama,” katanya.

Ditanya tentang faktor umur yang mungkin menjadi kekangan buat dirinya, ia tak menjadi masalah kerana masih bermain dengan bagus dan refleks yang baik kerana sudah biasa dengan konsol.

Makjah (Support/Tank)

Rashidi atau lebih dikenali sebagai Makjah pula adalah streamer sepenuh masa di dalam skuad GreedyGhost. Jejaka berusia 32 tahun ini beralih ke Pokemon Unite selepas bermain MLBB secara kompetitif.

“Saya nampak Pokemon Unite ini mempunyai potensi untuk berkembang, jadi saya memilih untuk melakukan penstriman tentang tips yang berguna untuk menjadi pemain yang hebat. Hasrat saya adalah untuk mengembangkan lagi komuniti Pokemon Unite di Malaysia.

“Saya akan sertai komuniti Discord Unite dan akan melakukan penstriman di sana dan pada masa yang sama, saya akan promosikan Pokemon Unite kepada pemain-pemain yang lain di luar sana,” ujar Makjah.

Matlamat GreedyGhost adalah untuk menjadi satu skuad yang dikenali ramai sebagai pasukan Malaysia. Mereka ingin GreedyGhost menjadi pasukan di mana negara-negara lain akan mengakui Malaysia boleh memberikan saingan di samping memperkenalkan negara kita sebagai petanding hebat.

Terdahulu, GreedyGhost pernah menyertai Kejohanan Jemputan Asia Tenggara (SEA Invitational) sebagai wakil Malaysia untuk bertanding di dalam showmatch.

Kini, GreedyGhost akan mengikuti pusingan kelayakan yang akan datang demi mengumpul championship point bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Pokemon Unite 2022. Mari kita sama-sama berikan sokongan kepada mereka.