“Saya harapkan yang terbaik untuk semua rakan sekerja,” – Fiera Fendi

By Hazril Md Nor | February 17, 2022

Siapa tidak kenal Fiera Fendi. Gadis ayu yang berjaya memikat hati dengan pesonanya ketika menjadi hos bagi liga profesional Mobile Legends (MPL) MY.

Namun, poster hari ini menunjukkan tiada Fiera dalam pengumuman barisan talent yang terdiri daripada hos, pengulas dan penganalisis.

 
 
 
View this post on Instagram

A post shared by MPL Malaysia (@mplmy.official)

Fiera ketika dihubungi MyGameOn berkata, dia tidak tahu menahu sebab di sebaliknya.

“Mereka tak pilih atas sebab ‘internal’ dan saya pun tak pasti kenapa. Saya tahu mereka ingin cuba kelainan gandingan hos yang baru. Apa pun saya harapkan yang terbaik untuk semua rakan sekerja terutamanya pengulas kerana kami begitu rapat.

“Insya-Allah ada rezeki, saya akan jadi hos untuk e-sukan lain. Sekarang saya memang tiada tujuan untuk menukar karier ke arah pengulasan atau analisis kerana bidang pengacaraan memang minat saya sejak dulu,” katanya.

Fiera mengatakan dia masih dalam arena e-sukan cuma kali ini tidak hos untuk MPL MY musim kesembilan saja.

“Seterusnya saya akan hos untuk pelancaran peranti pintar Oppo yang terbaru pada akhir bulan ini. Kalau dalam e-sukan belum ada tawaran lagi cuma kekal aktif untuk kempen promisi jenama dan sebagainya.

“Saya juga macam nak kembali aktif dalam bidang pengiklanan seperti dulu,” katanya.

Terus optimis dengan apa yang terjadi, Fiera mengatakan banyak yang dipelajari ketika menjadi hos di MPL. Katanya, MPL adalah permulaan karier baginya dan peluang menjadi hos di platform besar sedikit sebanyak memberikan pengalaman menarik sehingga kini dalam membentuk jati dirinya.

“Saya teruja dapat mengenali rakan-rakan (pengulas) yang dah macam adik beradik sendiri. Tak kekok untuk berkongsi perasaan dan cerita.

“Kalau nak cakap tentang masa hadapan, saya nak kembangkan lagi kemahiran dan berharap dapat tawaran program melancong, makanan atau apa pun berkaitan komuniti,” katanya mengakhiri perbualan.

MPL MY S9 akan bermula esok mempertandingkan RM418,000 direbut 10 pasukan terbaik Malaysia.

Foto: Fiera Fendi / Youtube