Prizepool PMPL S3 belum bayar?

By Editorial team | February 28, 2022

Baru-baru ini, komuniti PUBG Mobile Malaysia digemparkan dengan isu hadiah wang kemenangan yang belum lagi dibayar. Dalam satu InstaStory dimuat naik Muhammad Mustaqim (xSyko) semalam, dia menuntut hak untuk hadiah kemenangan Liga Profesional PUBGM (PMPL) S3 dan mengatakan ada hingga lapan pasukan belum menerima hadiah kemenangan.

Malah, kata bekas pemain Taugeh Ayam Esports itu, setahun sudah berlalu namun hadiah kemenangan belum lagi diterima. Dia turut tag @vspn.esports bagi mendapatkan penjelasan mengenai hal itu. 

Liga itu berlangsung pada Mac hingga April tahun lalu.

Sementara itu, pengurus RSG MY, Aiman Wafiy turut memuat naik InstaStory mengatakan ramai pemain PMPL menanyakan bagaimana RSG sudah mendapat wang kemenangan lebih awal dari pasukan lain.

Katanya, dia tak tahu menahu tentangnya dan menerima wang itu pada 11 Januari lepas.

Tambahnya, mereka juga sentiasa mengikuti perkembangan dan bertanyakan hampir setiap bulan kepada pihak berkaitan tentang status wang kemenangan itu.

Aiman turut menegaskan pemain-pemain bertanyakan kepada pengurus juga berkenaan hadiah kemenangan itu. Akhir kata, Aiman menulis yang hadiah kemenangan bagi liga musim lepas (S4) belum lagi diterima.

Isu mengenai pembayaran wang pemain pastinya menjadi hangat diperkatakan di media sosial.

Di Group Warga J, wakil Tencent Malaysia juga mengatakan prizepool sudah dibayar. 

Kami dari MyGameOn masih cuba mendapatkan pihak penganjur memberi komen mengenai hal ini.