“Kenapa siasatan mengambil masa terlalu lama?” – Geek Fam
Organisasi e-sukan, Geek Fam meluahkan rasa kecewa terhadap insiden provokasi yang membabitkan pemain MLBB mereka, Nik Aqieff (Dominus) dengan pemain Team OP dari Singapura.
Dalam satu perlawanan rank, pemain Team OP melemparkan komen yang berbaur perkauman dan agama malah tindakan mereka itu dirakam secara langsung (di mana Dominus sedang livestream).
Wakil Geek Fam ketika dihubungi berkata, pihak Moonton mengambil masa lebih dua hari untuk menyiasat kes ini sedangkan ia boleh diselesaikan tanpa mengambil masa yang lama.
“Pertama sekali, kami tak berkenan dengan masa siasatan insiden ini yang mengambil masa lebih dua hari.
“Semalam kami dijanjikan untuk keputusan siasatan tapi sehingga hari ini belum menerima apa-apa,” katanya kepada MyGameOn.
Selain itu, mereka juga berkata permohonan maaf Team OP mengeruhkan keadaan dengan menyebut pihak lawan (Dominus) yang memulakan taunting itu (lihat rajah di atas).
“Mereka tak ikhlas dalam permohonan maaf kerana menyebut Dominus yang memulakan segalanya. Ini tak benar. Moonton sendiri ada tangkap layar dan recording siaran langsung,” katanya.
Tambah Geek Fam lagi, mereka adalah organisasi e-sukan yang berbilang kaum dan tidak mengamalkan rasisme.
“Jurulatih kami warga Singapura dan hampir semua pemain kami adalah Muslim. Pemilik Geek Fam pula seorang berbangsa Cina.
“Kami tak pernah sekalipun rasis atau menimbulkan isu sebegini di dalam atau di luar organisasi.
“Itulah sebabnya kami kecewa akan hal ini kerana ia tidak selari dengan visi dan pendirian kami,” katanya.
Geek Fam menambah, mereka berharap Moonton menyegerakan siasatan ini dan keadilan dapat dituntut oleh mereka yang menjadi mangsa.
Kini, tiga pemain Team OP sudah ditamatkan kontrak dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Kami sudah menghubungi pihak Moonton untuk mendapatkan kenyataan mengenai status siasatan ini namun masih belum berjaya.