[REVIEW] Realme 9 Pro+ edisi Free Fire – boleh main kebanyakan game dengan lancar!

By Hazril Md Nor | May 25, 2022

realme baru-baru ini melancarkan edisi terhad Realme 9 Pro+ bertemakan Free Fire!

Peranti pintar ini mempunyai tema eksklusif yang didekasikan khas kepada peminat Free Fire. Dari pembungkusan pakej hinggalah apa yang terdapat di dalamnya, anda pasti akan teruja dengan peta Free Fire serta sticker yang didatangkan bersama.

Peranti ini menggunakan paparan HD Penuh + AMOLED dengan kadar segar semula 90Hz. Apa yang penulis akan uji ialah kebolehannya sebagai peranti pintar untuk memainkan beberapa game popular. 

Dari segi rekaan, ia mempunyai perkataan Booyah di belakang.

Apa yang anda akan dapat:

  • realme 9 Pro+ 5G Free Fire edisi terhad
  • Screen Protector yang sudah dilekatkan
  • Kad ganjaran Magic Cube Free Fire
  • Sticker Free Fire
  • Pembuka Sim berbentuk Pisau Free Fire
  • Pengecas 65W
  • Kabel USB C
  • Manual

Dengan pemprosesan MediaTek Dimensity 920 5G, ayuh kita lihat sejauh mana peranti pintar ini boleh ‘pergi’.

Free Fire

  

Boleh dikatakan permainan Free Fire yang sememangnya menjadi tema bagi peranti pintar ini pastinya boleh dimainkan dalam tetapan grafik tertinggi. Lebih menarik, 4D Vibration yang mana akan membuatkan pengalaman gaming anda terasa lebih menarik.

Bermain Free Fire dalam jangka masa yang lama juga tidak menyebabkan peranti pintar ini panas dan menelan begitu banyak bateri.

Penulis tiada masalah menetapkan grafik ultra yang mana ia sangat lancar dan pergerakan karakter sangat lancar.

Dengan sokongan Dolby Atmos dan pembesar suara Dual Stereo, penulis boleh bermain permainan ini tanpa masalah mendengar bunyi tapak kaki atau tembakan dengan jelas. Namun, pengalaman audio terbaik apabila menggunakan fon telinga (tapi tidak didatangkan bersama pembelian).

Objek dan struktur bangunan juga lebih jelas pada tetapan tertinggi ini. Jadi pengalaman Battle Royale terutamanya Free Fire sangat baik. Bagi ketahanan bateri, satu permainan Battle Royale hanya menelan sebanyak tiga peratus kapasiti bateri sahaja.

Mobile Legends

 

Bagi peminat MOBA, Mobile Legends boleh dimainkan pada tetapan grafik ‘high’ sahaja dan tiada pilihan untuk ultra. Namun, penulis rasa ia sudah mencukupi kerana grafiknya sangat cantik dan pergerakan karakter serta objek sangat jelas.

Penulis juga tidak mengalami masalah ‘stutter’ ketika bermain. Bagi peminat permainan popular ini, semestinya ini adalah satu kelegaan kerana anda boleh bermain dengan lancar.

Tidak dinafikan lagi, realme sememangnya mengoptimumkan grafik bagi permainan mudah alih ini.

Asphalt 9

   

Permainan perlumbaan kereta ini mungkin sudah lama dilancarkan tapi ia masih juga menggunakan tetapan grafik yang tinggi. Malah, ramai yang menguji kualiti grafik sesebuah peranti pintar itu sebaik mana menggunakan Asphalt 9.

Apa yang penulis boleh katakan, ia sememangnya tidak mengecewakan. Grafiknya sangat cantik pada paparan Super AMOLED 90Hz.

Asphalt 9 boleh dimainkan dalam tetapan ‘default’ ataupun performance dan high quality tanpa masalah. Bagi penulis, mod disediakan ini tak mempunyai banyak perbezaan. Gunakan mod ‘default’ untuk keselesaan bermain.

Sepanjang bermain, penulis sangat kagum dengan kualiti grafik dan perlumbaan kereta lebih lancar walaupun ia peranti pintar dalam ruang harga pertengahan.

Genshin Impact

 

Salah satu permainan popular masa kini. Bagi penulis Genshin sememangnya tidak dioptimumkan dengan baik. Sudahlah data mengisi sehingga 14GB, kualiti grafik pula agak rendah kerana penulis hanya boleh bermain di tetapan ‘low’ untuk kelancaran sepenuhnya.

Apabila anda menaikkan satu lagi tangga grafik, kemungkinan ia akan mula panas dan terdapat ‘stutter’ berlaku ketika bermain. Banyak tekstur yang kelihatan samar-samar dan tidak HD jadi penulis tidak cadangkan anda membeli peranti ini untuk bermain Genshin sebagai permainan kedua selepas Free Fire.

Kualiti ketika berlawan juga tidak begitu memuaskan kerana grafik yang kurang menyerlah dan pergerakan yang tidak lancar.

Bateri yang tahan lama

Apa yang penulis sukakan tentang peranti ini adalah kapasiti bateri yang sangat besar iaitu 4,500 mAH. Pun begitu, peranti ini boleh dicas dengan pantas menggunakan pengecas 60W SuperDart Charge jadi anda tidak akan menunggu lama untuk main Free Fire dan sebagainya.

Caj selama 15-20 minit akan memberikan 50% bateri manakala pengecasan penuh hanya memakan masa sekitar 1 jam 20 minit saja.

Bagi penulis, pengalaman menonton siri Netflix atau Disney+ serta Youtube adalah yang terbaik kerana sokongan Dolby Atmos dan pembesar suara Dual Stereo.

Disebabkan audio yang kuat dan jelas, penulis biasanya menetapkan sehingga 60% saja untuk menonton Youtube dan bermain game. Kualiti imej dan warna yang baik harus dipuji pada paparan Super AMOLED di telefon pintar ini.

Bagi anda yang ingin bermain game sambil mengecas pun tiada masalah kerana teknologi pengecasan pantas. Telefon ini juga boleh mencapai sehingga brightness 1,000 nits bermakna anda boleh menggunakannya di bawah cahaya matahari tanpa masalah.

Lain-lain

Akses Games untuk mengaktifkan mod contohnya menjawab panggilan secara automatik menggunakan speaker, menghalang panggilan dan mengaktifkan 4D Vibration.

 

Di lock screen, anda akan mendapat ‘wallpaper’ Kelly, karakter wanita dalam Free Fire. Malah, beberapa aplikasi juga akan menerima ikon eksklusif untuk Free Fire seperti di bawah:

Ejector untuk kad sim. Pisau yang ditulis perkataan Booyah! Stail bukan?

Dari segi kamera, peranti ini menggunakan 50MP Sony IMX766 yang mana bagi penulis, kualitinya agak bagus.

realme 9 Pro+ 5G sudah boleh didapatkan sekarang di Shopee dengan harga RM1,499.