Ombong tengah berusaha nak buka kafe pitstop di Sabah

By Hazril Md Nor | June 3, 2022

Personaliti e-sukan tanah air, Ombong Haha menyatakan hasrat untuk membuka kafe pitstop di Sabah bagi membuka mata kerajaan negeri itu.

Katanya menerusi sebuah hantaran Instagram Story semalam, pembukaan kafe itu akan membuka mata yang e-sukan, bidang penstriman dan pencipta kandungan mampu memberi impak besar.

“Ia juga akan membantu atlet Sabah serta pencipta kandungan dan streamer dengan menubuhkan hab e-sukan di Sabah.

“Tempat ini juga boleh memupuk dan mencungkil bakat atlet dengan mengadakan pelbagai kejohanan e-sukan atau ekspo dan festival,” tulisnya.

Dia juga menyatakan pembukaan kafe itu dapat meningkatkan industri pelancongan bagi warga asing mencuba makanan tempatan. Malah baginya, pembukaan kafe ini adalah satu kejayaan peribadi dengan berbakti kepada orang lain sebagai seorang anak Sabah.

 

Di satu hantaran lain, Ombong juga mengatakan dia berminat untuk meneroka bidang yang lain selain streaming. 

“Untuk tahun ini, saya masih perlu stream kerana baru melanjutkan kontrak. Ada setahun lagi anda akan lihat saya di page Ombong Haha,” tulisnya lagi.

Selama empat tahun berkecimpung dalam bidang penstriman, dia juga sangat menyayangi kariernya dan bidang ini menjadi asbab membuka banyak pintu rezeki buatnya.

Foto: Facebook Ombong Haha