Review – The Walking Dead: The Final Season Memberi Pilihan Kepada Korang Untuk Menghasilkan Finale Gempak

By Intan Mawarni | August 20, 2018

Telltale Games merupakan developer yang tidak asing lagi dengan penghasilan game-game yang kaya dengan naratif mantap dan membolehkan pemain bertindak seperti pengarah game, mempengaruhi setiap keputusan yang dilakukan oleh karakter-karakter dalam game berkenaan. Siri game The Walking Dead mengambil sumber inspirasi dari komik terkenal dilakar oleh Robert Kirkman dan juga telah diolah menjadi rancangan TV popular di Amerika Syarikat dengan judul sama.

Siri game ini dimainkan secara berepisodik di mana pemain boleh dibentang dengan pelbagai pilihan dan melihat karakter utama dalam perspektif kamera third-person atau di atas bahu justeru mencakupi keseluruhan persekitaran suasana game berlatarbelakangkan dunia pasca apokalips.

The Final Season membawa kembali ke tema musim pertama dan ini jelas dicerminkan dalam poster promosi The Walking Dead: The Final Season di bahagian kiri gambar iaitu sama seperti Lee melindungi Clementine di bahagian kanan gambar.

Melihat kembali kepada musim-musim sebelum ini, Clementine dipertemukan dengan seorang bekas profesor yang disabitkan kesalahan membunuh bernama Lee Everett dalam perjalanan ke tirai besi tetapi semua itu berubah apabila dunia berubah 360 darjah dengan kebanjiran zombi berleluasa secara tiba-tiba. Ketika Lee harus mempertahankan diri dari dimamah zombi, Lee bertindak sebagai pelindung dan penjaga kepada Clementine sehingga dia menghembus nafasnya yang terakhir.

Bergantung kepada keputusan pemain terhadap Clementine dalam musim sebelum ini, dia harus menongkah arus lautan zombi dan memahami dengan manusia-manusia tidak kira usia muda ataupun tua untuk bertahan hidup dalam dunia pasca apokalips ini. Secara tidak langsung, pertemuan Clementine dengan pelbagai jenis watak manusia mengubah tingkah lakunya dan menjadikan dia lebih berwaspada dengan cabaran ke hadapan tanpa Lee di sisinya.

Musim terakhir ini memfokuskan terhadap hubungan unik Clementine mendidik dan membesar bersama AJ

The Walking Dead: The Final Season menonjolkan penceritaan yang jarang sekali kita lihat dalam game-game terkini. Jika kita melihat hampir keseluruhan game-game lain seperti The Last of Us atau God of War, semuanya tertumpu kepada naluri kebapaan. Kini, Clementine mengalas tanggungjawab seperti Lee iaitu sebagai pelindung kepada seorang budak lelaki bernama AJ.

Dengan AJ di bawah jagaan Clementine, hidupnya berputar bagaikan roda apabila musim terakhir ini melawat kembali tema bagi musim pertama The Walking Dead. Keakraban Clementine dan AJ saling tak tumpah seperti hubungan Lee dan Clementine pada musim pertama. Musim terbaru dan terakhir ini akan memberikan pilihan kepada pemain untuk mendorong perkembangan hubungan antara Clementine dan AJ. Interaksi mereka berdua membawa ke satu campuran unik iaitu Clementine bertindak seperti kakak dan juga ibu kepada AJ dalam game ini.

Apa yang menarik tentang siri The Walking Dead ini adalah takdir-takdir bagi setiap karakter wujud dalam naratif game ini berlandaskan pilihan yang dilakukan oleh pemain. Walaupun keputusan korang mempengaruhi gerak geri Clementine, AJ juga terlibat dalam proses pemikiran pemain kerana AJ juga akan membantu korang dan berterus terang menyuarakan pendapatnya. Seperti game-game yang lepas, korang pasti tidak akan terlepas dengan pemilihan interaksi dialog atau perbualan antara karakter yang membawa naratif game ini ke tahap drastik dalam episod-episod akan datang.

Clementine kini sudah berusia remaja masih lagi bertahan dalam dunia tiada peraturan dan penuh dengan pelbagai ancaman

Selepas berlalunya tiga musim, Telltale Games mempertingkatkan kualiti grafik ke tahap lebih tinggi bagi musim terakhir The Walking Dead. Untuk kali ini, kamera diperluaskan lagi seperti korang berada dalam game open-world yang mengalu-alukan lebih banyak pergerakan dan pilihan bagi korang untuk mempertahankan diri dari serangan zombie. Dari segi gameplay, game ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri quick time event (QTE) iaitu berpandukan urutan-urutan butang di atas skrin untuk berinteraksi dengan objek dan juga mengalahkan zombi dalam game.

Selain itu, kualiti grafik tampil lebih mantap tanpa menghilangkan gaya seni cel-shaded asli The Walking Dead. Penulis memang kagum dengan cara mereka mengolah bangunan-bangunan terbiar dan usang dengan efek pencahayaan dan model karakter lebih realistik yang memberi impak besar berbanding musim sebelum ini.

Penulis juga berhadapan dengan sedikit lag ketika hendak menjayakan aksi QTE sehingga saya naik berang

Meskipun The Walking Dead: The Final Season dihiasi dengan peningkatan mendadak dari segi grafik, korang mungkin akan rasa bosan dengan cara gameplay yang hampir tidak pernah berubah sejak musim pertama diperkenalkan pada tahun 2012. Semasa penulis sedang asyik bermain, ada sesetengah aksi cemas dalam game ini tidak membuatkan saya rasa cemas langsung kerana masalah lag masih lagi wujud ketika saya mahu melakukan urutan QTE.

Untuk mereka yang berhasrat untuk main game tapi tak pernah sentuh musim sebelum ini, korang mungkin akan berasa ketinggalan kerana korang perlu ada susur galur jalan cerita untuk tiga musim lepas dalam siri The Walking Dead. Namun, The Final Season mempersembahkan Story Builder (yang juga tersedia di website) iaitu berfungsi sebagai satu ringkasan jalan cerita panjang menggabungkan The Walking Dead: Season One, The Walking Dead: Season Two dan juga The Walking Dead: A New Frontier sebelum korang maju ke hadapan dalam musim terakhir. Oleh kerana game ini didorong dengan keputusan pemain, Story Builder menayangkan kembali babak-babak penting dalam musim-musim lepas dan setiap keputusan yang dipilih oleh pemain dalam Story Builder boleh diimport masuk ke dalam The Final Season.

Adakah kisah Clementine dan AJ berakhir dengan kegembiraan atau tragedi?

The Walking Dead: The Final Season membawa pemain hampir sampai ke garisan penamat kisah seorang gadis bernama Clementine dari seorang kanak-kanak sehingga menanjak ke alam remaja. Kalau korang minat game berepisodik atau naratif berat seperti Life is Strange dan Detroit: Become Human, korang tentu sukakan game ini.

Tak lupa juga kepada yang dah lama layan dengan siri The Walking Dead, korang tentu akan tak sabar-sabar untuk tahu kesudahan kisah Clementine dan AJ untuk tiga lagi episod menyusul akan datang. Lebih-lebih lagi, Telltale Games juga sudah mengumumkan tarikh-tarikh rasmi untuk episod seterusnya akan datang. Jadi, cepat-cepat pergi tandakan kalendar korang!

Korang dah boleh main episod pertama The Walking Dead: The Final Season yang telah dilancarkan di PC, PS4, Xbox One dan Nintendo Switch.