“Saya nak menang MPL dan terpilih ke M4,” – Born

By Hazrul Md Nor | July 4, 2022

Mohammad Harith atau lebih dikenali sebagai nama pentasnya iaitu Born adalah salah seorang pemain pasukan Orange Esports. Selepas Orange Esports gagal mendapatkan kemenangan pada minggu awal MPL MY musim ke-9, kemasukan Born dan rakan-rakannya menjadi kunci kebangkitan pasukan Orange Esports.

Kami dari pihak MyGameOn sempat menemu bual Born sebelum dia memulakan program latihan industri di dalam bidang perakaunan di sebuah firma audit. Pemenang tempat kelima Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC) 2022 ini menetap di Shah Alam, Selangor. 

Ketika ditanya tentang kehadiran dirinya di dalam arena kompetitif Mobile Legends untuk musim ke-10, Born berkata dia masih akan bermain.

“Saya masih akan bermain di musim ke-10 kerana saya belum menjadi juara untuk mengangkat piala.

“Saya tidak akan berhenti selagi tidak menang MPL dan mewakili Malaysia untuk masuk ke Kejohanan Dunia siri M,” ujarnya kepada MyGameOn.

Born juga memberikan nasihat kepada anak muda di luar sana yang ingin menceburi bidang profesional ini.

“Untuk generasi baru di luar sana yang teringin untuk menceburi bidang e-sukan ini sebagai karier, anda jangan sesekali melupakan pelajaran kerana pelajaran itu adalah kunci untuk anda semua berjaya,” katanya.

Akhirnya, Born turut memberikan pesanan kepada Team Haq yang terdiri dari bekas ahli pasukan Orange Esports antaranya Garyy, Minn, Mann dan juga bekas jurulatih mereka iaitu Pabz.

“Kepada Team Haq, mohon untuk menang pusingan kelayakan kerana saya ingin berjumpa anda semua di MPL,” pesan Born kepada Team Haq.

Foto: MOONTON Games