SEM9 sah kembali ke arena e-sukan Free Fire, MCPS cabaran pertama
Organisasi e-sukan yang dikenali ramai, SEM9 sudah mengumumkan roster baharu bagi membuat kemunculan semula ke dalam arena e-sukan Free Fire tanah air.
Melalui satu video yang dimuat naik di Facebook rasmi SEM9, seramai enam pemain yang ditandatangani oleh pasukan ini.
Roster ini sebelum ini bermain untuk pasukan Geek Fam, namun memilih untuk bergerak tanpa organisasi itu bagi menghadapi Kejohanan MCPS Major musim keempat selepas mendapat slot secara automatik.
Barisan pemain ini dikumpulkan bersama sejak Siri Cabaran Free Fire Malaysia (FFCM) musim pertama. Pada ketika itu, Fikryx1, Orenn dan Man04 diperkenalkan bersama pemain asal Akiq dan Zack.
Selepas semusim, Akiq memilih untuk mengundurkan diri daripada pasukan manakala Zack menukar haluan karier ke pasukan Todak.
Pasukan itu membawa masuk Raja dari pasukan WatchNLearn dan Fenixx dari Blacklist International tampak memberikan impak positif apabila muncul sebagai juara peringkat liga dan menjuarai Grand Final Siri Cabaran Free Fire (FFCS) musim kedua.
Kini, pasukan itu memilih untuk bekerjasama di bawah naungan organisasi e-sukan SEM9 bagi menghadapi musim ini.
Hanya dua pertukaran dilakukan oleh pasukan itu apabila tidak menyenaraikan Xbot, malah menambah seorang pemain berpengalaman iaitu Lemon dari pasukan Expand.
Berikut adalah senarai pemain yang dibariskan dalam roster SEM9 Free Fire:
- Arif Fikri Bin Khairuddin (SEM9.FikryXI)
- Lukman Hakim Abdullah (SEM9.Man04)
- Muhammad Nabil Syamim Abdul Kahar (SEM9.Fenixx)
- Mohammad Nor Fadillah Nor Azrul (SEM9.Rajaa’)
- Muhammad Nurfirdaus Norhata (SEM9.Lemonn)
- Liew Yi Cheng (SEM9.Oren)
Kejohanan MCPS musim keempat bakal menjadi medan ujian pertama bagi pasukan itu bersama SEM9.