Epic Games Dan Google Gaduh Sebab Isu Risiko Serangan Virus Dan Malware Bagi Fortnite Android

By Intan Mawarni | August 28, 2018

Selang beberapa minggu lalu, Fortnite akhirnya telah tiba ke Android. Walaupun menjadi suatu kebiasaan semua game atau aplikasi dalam peranti Android boleh didapatkan melalui Google Play Store, Fortnite pula hanya boleh didapatkan melalui laman web rasmi Epic Games.

Baru-baru ini, Google mendapat tahu bahawa Fortnite di Android mempunyai beberapa kes sekuriti atau risiko terdedah kepada pengguna Android. Installer Fortnite mungkin berdepan dengan masalah sekuriti yang dipanggil sebagai serangan “Man-in-the-disk” (MITD) terhadap peranti korang. Serangan ini boleh menyebabkan fail Android APK Fortnite asli tertukar dengan fail yang berunsur berbahaya install ke dalam telefon.

Permasalahan ini hanya wujud dalam peranti Samsung sejak Fortnite Android dilancarkan secara eksklusif bagi Samsung. Menurut laporan bug dari Google, installer Fortnite menggunakan API peribadi Galaxy Apps iaitu satu stor ala-ala Google Play Store khas untuk pengguna Samsung sahaja.

Apabila diselidik oleh Google, Samsung menyimpan data API yang telah dimuat turun ke dalam storan luaran Android yang boleh kepada mengundang risiko sekuriti. Pada 15 Ogos, Google mencadangkan kepada Epic Games untuk menggunakan storan peribadi dalaman berbanding storan luaran untuk elak dari risiko serangan.

Kerana sistem keterbukaan peranti Android yang mengalu-alukan aplikasi dari luar batas Google Play Store, keputusan Epic Games untuk elak bayar 30 peratus kepada pihak Google mungkin membawa padah kepada game developer itu. Epic Games pun menerima maklum balas Google dan mengubah direktori storan dari storan umum luaran ke storan peribadi dalaman keesokan harinya.

Namun, tindakan Google mengumumkan tentang hal risiko serangan dalam installer Fortnite secara terang-terangan ini bercanggah dengan polisi Google. Google usulkan satu polisi di mana jika wujud masalah bug, pihak Google harus memberitahu kepada game developer (dalam hal ini, Epic Games) tentang kewujudan bug itu dan memberikan masa 90 hari untuk membaiki masalah bug sebelum Google boleh dedahkan maklumat ini kepada orang ramai.

CEO Epic Games, Tim Sweeney memanggil tindakan Google ini sebagai “tidak bertanggungjawab” apabila Eurogamer menghubunginya untuk beri komen. Sweeney menambah, “Kami sangat menghargai usaha Google untuk memberi analisis sekuriti bagi peranti Android tetapi Google seharusnya mengamalkan polisi mereka dan tidak membahayakan pengguna dalam proses Epic Games melancarkan Fortnite di Android luar dari Google Play Store.”

Bagi pengetahuan korang, segala kemasukan aplikasi dari sumber luar (seperti Fortnite) memerlukan kebenaran korang terlebih dahulu sebelum boleh mula install ke dalam peranti. Menurut portal teknologi Arstechnica, jika wujud aplikasi mempunyai malware atau virus berbahaya, telefon korang mungkin terdedah dengan pelbagai serangan sekuriti lagi kerana unsur ini boleh masuk terus tanpa keizinan korang.

Memang tidak dapat dinafikan Fortnite merupakan antara game shooter yang tetap mendapat sambutan hangat sehingga ada ibu bapa yang sanggup mengupah jurulatih Fortnite untuk mengajar anak-anak mereka bermain lebih baik. Setakat ini, Fortnite di Android hanya boleh dimainkan untuk beberapa peranti Samsung dan juga telefon-telefon lain yang berprestasi tinggi. Jika korang nak tahu jika telefon korang lepas untuk bermain Fortnite di Android, korang boleh rujuk link ini.