Era baharu Pando EWG Free Fire, umum Abiyek sebagai jurulatih

By Firas Aliyan | September 2, 2022

Kejohanan Major Malaysia, Filipina, Kemboja dan Sri Lanka (MCPS) musim keempat bakal membuka tirai pada hujung minggu ini. Pasukan Pando EWG membuat satu kejutan semalam dengan membawa tonik baharu apabila memperkenalkan individu berpengalaman dalam arena e-sukan Free Fire, Abiyek sebagai jurulatih. Kenyataan ini dimuat naik melalui Facebook dan Instagram rasmi EWG Esports. Abiyek atau nama sebenar Muhammad Fariq Mokhtar mempunyai latar belakang yang menarik apabila bermula bermain permainan Battle Royale pada awal tahun 2017. Beliau mengubah haluan ke Free Fire sejak awal 2018 dan menjadi pencipta kandungan (Content Creator) dalam permainan ini sehingga kini. Sebagai salah seorang daripada rakan kongsi Garena Free Fire, beliau sudah dijemput bagi mewakili Malaysia ke acara Free Fire Streamer Showdown 2019 dan berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan daripada lapan pasukan. Pengalaman beliau yang luas dalam komuniti Free Fire tidak lagi disangkal, selepas dikenal pasti bakatnya oleh organisasi e-sukan Blacklist International sebagai penganalisis bagi juara Grand Final MCP musim kedua itu. Sementara itu, pasukan bimbingannya juga iaitu PXG Radicals dari Filipina pernah menjuarai MCP musim kedua peringkat liga. Selepas satu musim berehat kerana ingin fokus terhadap bidang pengulasan, kini Abiyek hadir kembali ke kancah kompetitif dengan Pando EWG sebagai destinasinya. Pando EWG adalah organisasi e-sukan yang bertapak di negeri Pahang dan telah berkecimpung dalam Free Fire sejak awal 2020. Organisasi ini juga mempunyai pasukan dari divisi permainan lain seperti Mobile Legends: Bang Bang, PUBG Mobile, Valorant, dan FIFA.