Red Dead Redemption 2 Hanya Fokus Kepada Satu Protagonis Sahaja, Kata Rockstar

By Intan Mawarni | September 12, 2018

Antara game paling dinanti-nantikan pada tahun 2018, Red Dead Redemption 2 sedang bersiap sedia untuk meletakkan pemain kembali ke zaman koboi Barat di mana aktiviti jenayah berleluasa tanpa kekangan pihak berkuasa seperti pernah ditonjolkan dalam game pertama, Red Dead Redemption.

Red Dead Redemption 2 akan membawa pemain 12 tahun lebih awal dari kejadian Red Dead Redemption bagi melihat kebangkitan serta kejatuhan sebuah empayar yang diketuai oleh Dutch van der Linde melalui pemerhatian Arthur Morgan, seorang ahli geng van der Linde paling digeruni pada ketika itu.

Berbeza dengan game asal, pemain akan melihat perubahan mendadak yang mengakibatkan geng Van der Linde jatuh lumpuh sehinggakan mereka diburu dan terpaksa berlari jauh daripada dicekup pihak berkuasa.

Walaupun Red Dead Redemption asal sudah meraih ramai peminat, pengarah seni dari Rockstar San Diego, Josh Bass berkata, “Kami cuba membangunkan sebuah game di mana semua bergerak secara kohesif supaya kedua-dua perbuatan pemain dan juga bagaimana dunia Western dapat memberi satu reaksi konsisten tak kira apa yang anda buat atau di mana anda lakukan perbuatan itu.”

Rockstar Games memang cukup sinonim dengan game open-world popular seperti siri Grand Theft Auto. Bass juga menjelaskan pemain mempunyai banyak pilihan di dunia Old West, “Dunia Red Dead Redemption 2 akan menempatkan pemain seolah-olah mereka berada dalam persekitaran di mana anda masih lagi menaiki kuda atau berjalan kaki untuk pergi ke sesuatu tempat.

Anda boleh bertukar-tukar cerita dengan pelayan bar, menggunakan kata-kata bijak untuk mengelak dari kena ditangkap pihak berkuasa, merampas keretapi, menyelongkar laci-laci di rumah-rumah ladang untuk duit atau cuma untuk dapatkan makanan untuk kelangsungan hidup ahli geng. Kesemua perkara ini akan diselarikan apabila pemain mengawal Arthur sebagai satu karakter yang menarik.”

Dengan kepelbagaian karakter yang tinggal dalam zaman koboi seperti diperlihatkan dalam video gameplay, ramai pemain tertanya-tanya jika Rockstar Games akan mengikut cara pertukaran antara tiga karakter: Michael De Santa, Trevor Philips dan Franklin Clinton dalam Grand Theft Auto V.

Apabila ditanyakan tentang persoalan ini dalam temuramah bersama The Hollywood Reporter, Bass berkata, “Pertukaran antara karakter semestinya menyeronokkan dan lebih bermakna dalam Grand Theft Auto V. Namun, kami rasa fokus terhadap satu karakter rasa lebih bagus untuk naratif dan struktur zaman koboi.

Arthur mempunyai pertalian erat dalam kalangan ahli geng Van der Linde dan Red Dead Redemption 2 adalah khusus untuk cerita Arthur. Kami mahu pemain menjiwai watak Arthur dengan cara dia bersama ahli geng berhadapan dengan dunia yang berubah laju.”

Baru-baru ini, Rockstar Games mendedahkan sedikit sebanyak tentang ahli-ahli utama dalam geng Van der Linde termasuk ketuanya sendiri, Dutch dalam bentuk poster karakter seperti di atas melalui laman rasmi Red Dead Redemption 2. Kalau korang sukakan poster karakter itu, korang boleh download untuk pelbagai format di sini.

Red Dead Redemption 2 bakal dilancarkan di PS4 dan Xbox One pada 26 Oktober 2018.