Takuya Kimura Menjadi Detektif Dalam Project Judge, Game PS4 Terbaru Dari Pembangun Yakuza

By Intan Mawarni | September 13, 2018

Ketika satu pra-pembentangan Sony untuk Tokyo Game Show 2018 yang bakal berlangsung pada minggu hadapan, Sega mengumumkan sebuah IP baru yang dibangunkan oleh pasukan sama yang membangunkan siri Yakuza.

IP baru itu adalah game PS4 baru dipanggil sebagai Project Judge atau nama Jepun, Judge Eyes: Shinigami no Yuigon. Saksikan trailer penuh di bawah:

Walaupun Sega pernah membawa masuk pelakon terkenal Jepun seperti Shun Oguri dan Beat Takashi ke dalam siri Yakuza, Project Judge pula membintangi pelakon popular Jepun, Takuya Kimura sebagai protagonis utama bernama Takayuki Yagumi. Ini merupakan penampilan pertama Kimura dalam video game.

Korang akan bermain sebagai Takayuki Yagami, seorang bekas peguam pembela yang dikejutkan berita bahawa bekas kliennya disabitkan dengan kesalahan membunuh setelah baru selesai dibebaskan dari segala tuduhan.

Yagumi kecewa dengan kegagalannya lalu dia bertukar menjadi detektif persendirian untuk mengenal pasti punca dan dalang sebenar di sebalik pembunuhan ini.

Jika dilihat sekilas pandang, sistem combat dan pergerakan karakter tampak sama seperti francais Yakuza tetapi menurut CCO Sega, Toshihiro Nagoshi menjelaskan Project Judge adalah sebuah game penyiasatan.

Dalam Project Judge, pemain akan bertindak dan berfikir seperti detektif untuk mencari bukti melalui pelbagai cara seperti penyamaran, pengintipan atau menggunakan dron untuk menangkap gambar. Game ini juga ada banyak minigame kelakar sebagaimana pernah ada dalam game-game Yakuza.

Korang boleh lihat pembentangan penuh Project Judge oleh Toshihiro Nagoshi bersama-sama sedikit pengenalan oleh barisan pelakon utama dalam game ini di bawah:

Sempena dengan pengumuman ini, Sega melancarkan satu demo Project Judge tetapi terhad untuk akaun PlayStation Jepun sahaja.

Project Judge atau Judge Eyes: Shinigami no Yuigon bakal dilancarkan pada 13 Disember 2018 untuk pasaran Jepun dan negara Asia lain di PS4 manakala game ini bakal dikeluarkan tahun hadapan bagi pasaran Amerika dan Eropah.

Sumber: The Verge