Dota Pro Circuit – Apa Korang Patut Tahu

By Hazril Md Nor | October 27, 2017

Sebelum ini tiada sistem piawaian markah khusus yang menentukan jemputan terus bagi pasukan profesional untuk menyertai kejohanan dunia Dota 2, The International.

Oleh itu, baru-baru ini Valve memperkenalkan format terbaru bagi kejohanan utamanya iaitu Major dan Minor. Dikenali sebagai Dota Pro Circuit, kejohanan Major yang terpilih selain TI akan menerima sebanyak AS$500,000 tajaan daripada Valve yang ditambahkan ke prize pool tersedia.

KEJOHANAN Majors untuk musim 2017-2018. FOTO: Wykrhm Reddy

Kejohanan Major ini bagaimanapun haruslah mempunyai sekurang-kurangnya AS$500,000 untuk mendapat pengiktirafan daripada Valve. Tambahan, satu pusingan kelayakan dari enam rantau iaitu Amerika Utara dan Selatan, Asia Tenggara, China,  Eropah dan Negara-negara bebas Komanwel (CIS) serta LAN final antara syarat kelayakan lain.

Tidak cukup dengan itu, Valve juga akan menaja kejohanan lebih kecil seperti Minors. Sama seperti syarat ditetapkan untuk Major, kejohanan Minor perlu ada sekurang-kurangnya AS$150,000 untuk mendapatkan tajaan dengan jumlah sama.

Kemenangan di dua jenis kejohanan ini amatlah penting kerana ia memberikan markah yang diperlukan untuk mendapat jemputan terus ke The International 2018. Sudah tentunya Major akan menawarkan markah lebih tinggi.

Menariknya mengenai format ini, markah akan diberikan sama rata kepada pasukan. Jika organisasi ingin melakukan perubahan roster, pastinya mereka perlu berhati-hati untuk mengekalkan ahli pasukan dengan markah tertinggi.

Menurut rekod dikeluarkan oleh Valve, sebanyak 22,150 markah menjadi rebutan kepada semua pasukan. Setakat ini, Valve mengumumkan sebanyak 11 Majors dan 16 Minors untuk musim ini.

Penulis sendiri menyokong usaha ini kerana setiap pasukan perlu bijak merancang jadual penyertaan mereka dalam setiap kejohanan dan tentunya mereka perlu bermain dengan lebih kompetitif untuk meraih markah sebanyak mungkin.