Mobile Legends: ‘Saya Nak Buktikan Main Game Ni Bukan Sia-Sia,’ – Akmal (Silo)

By Hazril Md Nor | October 22, 2018

Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Musim Kedua berlangsung dengan meriahnya dari Jumaat hingga Ahad menyaksikan lapan pasukan ranking terbaik di musim liga berentap merebut hadiah wang tunai terkumpul RM266,118!

Mengejutkan apabila Saiyan Reborn, underdog yang mendapat kedudukan tercorot di musim liga, bangkit menerusi lower bracket dan seterusnya bergelar juara, membawa pulang wang tunai RM128,900!

Saiyan Reborn terdiri daripada kapten pasukan Akmal Afi Uzair Daud (Silo), Muhd Nurhafis Jamiran (Evil), Muhd Firdaus Abdul Jamil (Rynn), Saw Kee Loong (Loong), Fiqri Atiq Mohd Fauzi Lai (Lacid) dan Muhd Aiqal Amran (Jinn).

Penulis sempat menemu bual kapten Saiyan Reborn, Akmal Afi Uzair Daud (Silo), 21 untuk mendapatkan komen jaguh negara ini:

Akmal (tiga dari kiri) bersama ahli pasukan Saiyan Reborn dan HawkEye ML (paling kanan). Gambar kredit: FB Saiyan Reborn

MyGameOn: Apa perasaan korang selepas nama diumumkan sebagai juara?

Silo: Kami rasa sangat teruja, tak sangka pun ada boleh menang MPL Musim Kedua ini. Kami gembira sangat sebanyak banyak halangan ditempuhi. Contohnya, kena berentap dengan AirAsia Saiyan yang memang lagi banyak pengalaman dan bermain lebih lama.

Terkejut juga bila dapat menang 2-0 berdepan mereka.

MyGameOn: Korang mula dari kedudukan tercorot selesai musim liga dan jatuh ke lower bracket pula. Macam mana korang kekalkan fokus dan bagi mental tak ‘koyak’?

Silo: Selepas jatuh ke lower bracket, saya ingat perkara sama terjadi pada IDNS Thailand pada MSC 2017. Jadi saya cepat bagitau pada semua ahli, jangan mengaku kalah dulu. Kita kena ada mindset untuk jadi juara. Jadi dari situ kami berbincang pasal meta, naik atas pentas sambung bincang lagi.

Yang tinggal, terus main dengan sungguh-sungguh. Alhamdulillah mungkin ini rezeki kami selama ini. Kami juga berterima kasih pada HawkEye ML kerana banyak membantu kami dari segi pengurusan, strategi dan sebagainya.

MyGameOn: Macam mana persiapan korang untuk playoffs ni?

Silo: Kami dah berada di Kuala Lumpur seminggu untuk bootcamp (berlatih bersama ahli lain). Jadi dari situ kami dah siap-siap training dan berbincang strategi apa semua.

MyGameOn: Macam mana pula dengan ibu bapa? Bagaimana penerimaan mereka?

Silo: Sejujurnya penerimaan daripada keluarga bukanlah positif pada mulanya. Mereka rasa saya main game ni sia-sia dan tak boleh pergi jauh sehinggalah semalam apabila menang, ibu saya yang mula-mula gembira dan menitiskan air mata. Sebelum ini ibu tak berapa menyokong apa saya buat tapi kini dia mula nampak hala tuju dalam bidang ini.

MyGameOn: Apa pula target korang selepas ini?

Silo: Semestinya kami ingin jadi lebih baik, perbaiki kesilapan yang tak sepatutnya dan sertai lebih banyak kejohanan besar. Kami memang sasar untuk masuk MSC 2019 dan Mobile Star League 2019 pula.

Kepada peminat semua, terima kasih kerana menyokong kami dan kemenangan ini bukanlah dikongsi kami saja tapi untuk anda semua juga!

——–

Liga Profesional Mobile Legends (MPL) musim kedua bermula Jumaat, 19 Oktober hingga Ahad (21 Oktober) di Paradigm Mall, Main Concourse mengumpulkan lapan pasukan yang berjaya mendapatkan kedudukan terbaik pada musim liga sebelum ini.

Mereka adalah Flash Tyrants, EVOS SG, AirAsia Saiyan, Geek Fam Mystic, Traitor, Bigetron SG, Geek Fam ICON dan Saiyan Reborn. Pasukan ini akan merebut wang tunai terkumpul USD64,000 dan juara pula membawa pulang hampir separuh iaitu USD31,000!