Telltale Games Menghadapi Masalah Bankrap, Menarik Keluar Jualan Game Dari Steam

By Intan Mawarni | November 15, 2018

Selamat tinggal, Telltale Games. Menurut GameDaily.biz, syarikat terkenal dengan game berepisodik The Walking Dead sedang menjalani pembubaran aset iaitu satu proses seakan kebankrapan bermula pada 11 Oktober. Ini mengakibatkan penarikan jualan game Telltale dari Steam.

Pada bulan September, Telltale Games melabuhkan tirainya di mana hampir 90% staf dipecat serta-merta tanpa apa-apa pampasan dan kebajikan kesihatan. Lebih-lebih lagi, semua projek game dalam perancangan seperti The Wolf Among Us 2 dan Stranger Things ketika itu turut diberhentikan.

Clementine dan AJ dalam The Walking Dead: The Final Season

Sebelum ini, hanya The Walking Dead: The Final Season tidak dijual buat sementara waktu berikutan penutupan drastik studio ini. Namun, Skybound Games telah mengambil alih tampuk pembangunan game berepisodik zombi ini dan akan menyiapkan sehingga episod terakhir.

Laman Telltale Games masih lagi tersedia di Steam tapi ada beberapa judul lain tidak tersenarai dalam jualan game kerana kebanyakkan game dibangunkan oleh Telltale memerlukan lesen hak cipta syarikat luar seperti Jurassic Park dan Back to the Future milik syarikat Universal Studios. Setakat ini, Game of Thrones, Batman, Tales from the Borderlands masih lagi wujud di Steam.

Buat masa sekarang, kita masih lagi tak tahu game Telltale yang bakal ditarik keluar daripada penjualan. Kalau korang berkenan untuk dapatkan game yang tiada di Steam, korang boleh dapatkan di laman stor digital lain seperti GOG dan laman jualan konsol lain.