RamPaGe Gaming Siap Sedia Harum Nama Negara

By Hazril Md Nor | December 3, 2018

Pada usia muda, sebenarnya ada antara kita yang mungkin masih belum tahu hala tuju dalam hidup. 

Bayangkan lepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ada yang tak tahu nak buat keputusan untuk sambung belajar atau tak, ada yang nak buat bisnes kecil-kecilan dan ada juga yang masih keliru tentang masa depan.

Dari kiri: Daniel Ali – Rainyz, Hakiem Tajudin – Ranger (Kapten), Irfan Danial – Derp, Izzul Amin – Izxmn, Sean Wong Sui Sheng – Sean

Tapi bagi RamPaGe Gaming, mereka punya matlamat sendiri. Dengarkan kata-kata ini:

“Dengan skuad RamPaGe Gaming, semua orang ada pilihan nak go for normal career. Tapi bagi kami, life is something you cannot miss and we want to achieve something at very young age, to be successful and enjoy our passion professionally,”

Itu kata Megat Danish Izmeer Megat Al-Imran, 20 yang juga pengurus untuk skuad RamPaGe Gaming, sebuah pasukan Call of Duty yang boleh dikatakan dah banyak kali kibarkan Jalur Gemilang di luar negara.

Skuad ini akan terbang ke Las Vegas, Amerika Syarikat, malam ini untuk bersaing di kelayakan terbuka World League berlangsung pada 7 hingga 9 Disember ini, merebut hadiah keseluruhan USD250,000 (RM1.04 juta). Mereka layak selepas memenangi Call of Duty Asia Championship di Kuala Lumpur, Mei lepas.

Majlis flag-off mereka dirasmikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Esports Malaysia (ESM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Ini kali kedua kami bersaing di acara Amerika Utama jadi persekitaran dan pertandingan itu memang berlainan.

“Dulu kami pernah dapat tempat 80 teratas di Anaheim, ia adalah pencapaian memuaskan. Tapi kami ingin buat lebih baik lagi.

“Di Anaheim, ia adalah one-off event tapi di Pro League ini, ia adalah permulaan musim kompetitif bagi Black Ops 4. 32 terbaik akan layak ke playoff nanti,” kata Megat.

LINE-UP BARU

Yang lebih membanggakan, RamPaGe ke sana dengan line-up baru. Mereka terdiri daripada:

Hakiem Tajudin – Ranger (Kapten) dari Malaysia

Sean Wong Sui Sheng – Sean dari Singapura

Irfan Danial – Derp dari Malaysia

Izzul Amin – Izxmn dari Singapura

Daniel Ali – Rainyz dari Malaysia

Lima anak muda ini berusia dari 18 hingga 20 tahun, berkorban masa dan kudrat untuk bawa nama Malaysia.

“Walaupun semua main dari rumah, kami practice selama 8 jam, takpun 4 atau 5 jam. Sebagai pelajar, memang kami kena korban masa dan tidur.

“Lepas praktis kena buat assignment lagi. Setiap bulan kami buat sampai jadi terbiasa dengan rutin ini,” kata Megat.

SENTIASA BERI MOTIVASI

Hakiem. Gambar dari Facebook Abdul Hakiem

Sebagai anak muda bertanding dalam esports, mereka juga cenderung berdepan dengan kekalahan. Tanpa ada insan yang sanggup tampil beri motivasi, siapa akan beri kata semangat?

“Hakiem (kapten) seorang yang pentingkan ahli pasukan. Walaupun diri sendiri kadang-kadang mental down, ahli-ahli lain yang akan naikkan semangat balik,” kata Megat.

Izzul sebagai ahli termuda yang baru berusia 18 tahun berkata, Hakiem seorang yang bertolak ansur dan bukan egois.

“Kalau ada perlawanan yang dia kurang perform, kami akan bagitahu dan dia mendengar. Dia juga selalu jaga dan ambil tahu pasal perkembangan kami,”

Bercakap tentang Izzul, dia sebagai warga Singapura yang masih muda punya semangat luar biasa.

“Saya mula main COD sejak 2015, dan pernah menang satu kejohanan besar pada tahun seterusnya. Saya rasa kalau saya boleh sampai ke tahap itu, kenapa perlu berhenti. Bagi saya, ini satu cabaran, di mana karier ini akan tentukan hala tuju saya seterusnya,”

Sebenarnya sangat tersentuh apabila kata-kata itu datang dari pemain profesional berusia 18 tahun. Mereka hanya ingin berjaya dalam bidang diceburi dan ingin lakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara.

Penulis sendiri ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka dan semoga kali ini dapat berikan persembahan lebih baik berbanding dulu!

20 tahun adalah usia yang sangat penting untuk kita buat keputusan dan bagi penulis, mereka berani jadi berbeza kerana keyakinan dan minat mendalam terhadap Call of Duty serta esports. 

Bagi korang yang nak tahu lebih lanjut tentang RamPaGe Gaming dan pencapaian mereka, boleh klik LINK ini.

Nak usha perkembangan terkini diorang? Pergi je Facebook page mereka.

Akhir kata, satu je nak cakap, Malaysia Boleh!

Nota: RamPaGe Gaming juga diambil alih oleh Axis Esports. Keputusan itu dibuat sebagai penghargaan untuk rekod membanggakan dari pasukan ini termasuklah menjadi satu-satunya wakil untuk Asia tenggara bermain di Amerika Syarikat.

Kaki Jersi turut dipilih sebagai penaja untuk produk eksklusif RamPaGe Gaming termasuklah baju serta merchandise lain.