Gadis Ini Menang Kejohanan FIFA 18, Proving Football Is Not Just For Men

By Hazril Md Nor | November 6, 2017

Siapa sangka, dalam ramai-ramai pemain lelaki yang mendominasi arena FIFA 18 tempatan, golongan gadis juga tidak kurang hebatnya memberi saingan dalam industri ini.

Nia Adyana, 24 antara gadis yang aktif dalam industri permainan video FIFA dan terbaru, dia memenangi kejohanan diadakan di Perak dan membawa pulang wang tunai RM250.

Bukan soal jumlah hadiah wang tunai yang ingin penulis bicarakan tapi semangat ditonjolkan Nia sebagai satu-satunya peserta perempuan dalam pertandingan yang disertai 20 orang itu.

NIA bertembung dengan abangnya sendiri di final. FOTO: Ihsan Nia Adyana

Menceritakan mengenai pengalamannya, Nia berkata, dia rasakan pembabitan dalam e-sukan terutamanya FIFA mengajarnya perkara baru antaranya tidak takut dengan cabaran dan sentiasa percaya pada diri sendiri.

“Selepas memenangi kejohanan itu, ada kawan-kawan mula bertanya mengenai hobi saya. Sejujurnya, saya lega sekarang kerana ada orang yang faham dan nak ambil tahu mengenai perkembangan saya.

“Tujuan saya sertai pertandingan ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tapi sekadar mencabar diri selain mendapat kepuasan bermain secara kompetitif kerana saya seorang yang meminati game terutamanya FIFA,” katanya.

MENERIMA hadiah wang tunai. FOTO: Ihsan Nia Adyana

Nia berkata, dia akan bergiat dalam lebih banyak pertandingan siri FIFA yang diadakan dan pada masa sama memfokuskan pada kerjaya sepenuh masa.

“Ia hanya sekadar hobi. Selepas ini saya akan sertai pertandingan CyberFest 2017 di Empire Damansara, November ini. 

“Saya akan berikan persembahan terbaik dan akur dengan apa saja cabaran mendatang. Walaupun ramai lelaki bertanding, saya cuba tonjolkan bakat dan tidak menjadikan ia alasan untuk tidak bertanding,” katanya.

Nia juga berharap lebih banyak pasukan atau clan merekrut bakat baru tanpa mengira jantina untuk bersaing secara sihat dalam industri.

Bagi penulis, tidak salah untuk kita nilai progress ini dari sudut yang positif. Tak mustahil ia akan menjadi stepping stone bagi lebih ramai perempuan untuk berjinak-jinak dalam permainan video FIFA.

Mungkin ada yang berpotensi tapi takut kerana terlalu ramai lelaki untuk menyaingi. Apa yang pasti, perkembangan Nia masih jauh dari realiti e-sukan FIFA yang sudah berkembang di seluruh dunia.

Namun, dari sudut lain, ia membuktikan golongan wanita kini turut sama memeriahkan industri ini. Mungkin selepas ini kita akan saksikan ramai lagi gadis menyinar dalam kejohanan FIFA. Sama-sama kita nantikan.