Mobile Legends: Bekas Pengurus Melewatkan Pembayaran Kepada Pemain, Tak Jujur

By Hazril Md Nor | December 21, 2018

Sekarang ini kecoh desas desus tentang pasukan profesional Mobile Legends, Mystic Burden yang dilanda drama apabila kelayakan mereka ke MPL musim ketiga mungkin ditarik balik.

Oleh itu, organisasi esports, Geek Fam tampil memberi kenyataan berkenaan perkara ini. 

Nota: Kami hanya terjemahkan kenyataan ini ke dalam Bahasa Melayu. Post asal boleh dibaca di SINI.

JEMPUTAN MUNGKIN DITARIK BALIK

Pertamanya, mereka mengatakan ada kemungkinan jemputan terus ke MPL musim ketiga ditarik balik. Sepatutnya Geek Fam Mystic Burden memang layak kerana mempunyai sekurangnya-kurangnya 3 pemain asal dari musim kedua. Mereka mempunyai empat pemain asal, 2ez4jepv, Xorn, Dominus dan Feekz.

“Syarat untuk MPL ialah setiap pasukan perlu mempunyai contact person yang rasmi untuk dihubungi eGG bagi segala hal berkaitan MPL. Untuk musim kedua, individu ini adalah bekas pengurus Mystic Burden, Chucky,” kata Geek Fam dalam satu kenyataan.

Tapi keadaan bertambah buruk apabila Chucky yang sudah meninggalkan Geek Fam pada sebulan lalu dan Kuja, bekas kapten Mystic Burden menghalang Wheng, pengurus dalaman Geek Fam dari mengambil alih sebagai pengurus untuk bercakap dengan pihak eGG.

CHUCKY TAK JUJUR

Kesannya, Chucky berkata tidak benar kepada eGG tanpa pengetahuan pihak Geek Fam yang mereka tak mempunyai cukup ahli (3 daripada 6) untuk MPL Musim Ketiga. Ini menyebabkan eGG menarik balik jemputan terus.

Walaupun begitu, Geek Fam menghormati keputusan eGG sebagai penganjur. Mereka memahami syarat ini yang hanya bertujuan untuk melindungi pemain.

“Biarpun Chucky mengaku mewakili Geek Fam Mystic Burden, 4 pemain yang kembali itu mempunyai kontrak ditandatangani bersama kami dan bukannya dia, jadi dia tak boleh mengaku menjadi wakil. Malah, pemain bersepakat yang mereka tak lagi mempercayai Chucky dan tak ingin dia mewakili pasukan,” 

Selepas memberitahu situasi sebenar kepada eGG, Geek Fam diberi masa sehingga 24 Disember untuk kemukakan bukti agar keputusan boleh dibuat.

“Walaupun kami cuba untuk mencapai standard sebagai organisasi esport dan memberi contoh yang baik bagi industri esports di Malaysia dan Asia Tenggara, kami rasa kami tetap berada dalam situasi sukar kerana beberapa individu mengkhianati kepercayaan kami.

“Sebab Chucky tak lagi bersama Geek Fam kerana dia gagal membayar pemain pada waktunya, dan sebab lain. Kami selama ini tetap profesional apabila ia membabitkan pembayaran dan peruntukan pemain mengikut kontrak jadi mesti kami terus bertindak apabila ada khabar angin mengatakan kami tak membayar pemain,”

CHUCKY LEWAT MEMINDAHKAN WANG KEPADA PEMAIN

Geek Fam juga mengatakan siasatan lanjut mendapati Chucky menyimpan wang kemenangan pemain dan melewatkan pembayaran walaupun wang itu dah dipindahkan kepadanya.

“Ini adalah sebabnya pemain tak ingin Chucky sebagai pengurus. Kami mempunyai bukti untuk ini dan akan kemukakannya,”

Mereka juga berkata, Chucky tidak telus dalam memberitahu perkara sebenar.

“Kami menunjukkan kontrak baru kepada Chucky untuk dia sampaikan kepada pemain. Tapi dia kata pemain tak ingin ambil tawaran. Tapi apabila tawaran sama diberikan kepada pemain menerusi kami, mereka ambil pula. Mereka ingin kami mewakili mereka,”

Akhirnya Geek Fam berkata pemain berada dalam keadaan genting kerana mungkin tidak mampu menyertai kejohanan paling penting dalam Mobile Legends walaupun mereka berhak.

Bagaimanapun, Geek Fam juga akan terus melindungi hak pemain dan bersuara apabila hak ini dieksploitasi oleh individu yang tak bertanggungjawab.

Sekarang kita hanya tunggu pada 24 Disember ini untuk berita selanjutnya. Nantikan!

Sumber gambar cover adalah dari Geek Fam Mobile Legends.