Alien: Blackout Menampilkan Kisah Amanda Ripley Baru Dalam Game Mobile

By Intan Mawarni | January 8, 2019

[KEMASKINI]

D3 Go telah umumkan tarikh pelancaran bagi Alien: Blackout di iOS dan Android serta harga game mobile ini. Dalam halaman iOS, Alien: Blackout dijangka akan keluar pada 24 Januari 2019 dengan harga RM19.90 manakala Google Play Store hanya menyertakan butang pra-pendaftaran dan bakal memberi notis apabila game ini telah tersedia.

Terima kasih, Aksiz.

[ARTIKEL ASAL]

Alien: Blackout adalah sebuah game mobile baru dibintangi Amanda Ripley yang korang kenali dalam Alien: Isolation.

Semalam, kami melaporkan akaun Twitter rasmi Alien mengacah peminat siri ini untuk baca, tonton dan main lebih teliti. Kami meneka kisah ‘comeback’ Amanda hadir dalam bentuk media berbeza seperti buku, filem interaktif atau game konsol & PC terbaru selepas kejadian Alien: Isolation.

Rupa-rupanya Alien: Blackout akan mengikuti jejak Amanda Ripley iaitu anak kepada Ellen Ripley, protagonis ikonik antologi filem Alien hadir di Android dan iOS.

Dalam game yang berlatarbelakangkan masa antara dua filem: Alien dan Aliens, Amanda terperangkap dalam kapal angkasa Weyland-Yutani dan dia bersama krew kapal diburu oleh makhluk Xenomorph berbahaya ini.

Berbanding kawalan first-person shooter dalam Alien: Isolation, Blackout menampilkan kawalan mesra mobile gaming (sebenarnya cara main agak sama seperti Five Nights at Freddy’s) iaitu gunakan akses kamera, peta holografik dan motion tracker untuk mengatur strategi korang dan krew lain daripada dimakan oleh makhluk buas. Setiap keputusan korang ambil memberi impak kepada naratif Amanda sama ada dia akan hidup ataupun mati.

Buat masa sekarang, tiada tarikh rasmi diumumkan dan pembangun D3 Go menjanjikan permainan mudah alih seram dan mendebarkan untuk peminat Alien dalam poket & tangan korang. Diharapkan korang kawal jangan menjerit-jerit sangat sebab jumpscare di restoren dan tempat awam semasa korang main game mobile ini.

 

Sumber: Polygon