Allan Phang Kini Ketua Pemasaran Dan Perhubungan Awam Serantau EVOS Esports

By Hazril Md Nor | April 6, 2020

Bekas Ketua E-Sukan di Air Asia, Allan Phang kini menggalas posisi baru sebagai Ketua Pemasaran dan Perhubungan Awam Serantau bagi EVOS Esports.

Terdahulu, Allan memainkan peranan penting dalam pembangunan e-sukan di syarikat penerbangan tambang rendah tersebut termasuklah terlibat dalam penjenamaan Team Saiyan ke Air Asia Saiyan dan pembentukan pasukan Mobile Legends, Air Asia Team Impact.

Selain itu Allan juga mempunyai portfolio dalam bahagian Pemasaran Serantau, Pembangunan Bisnes, Budaya Korporat dan banyak lagi.

Kini, beliau akan terlibat dalam pemasaran strategik bagi jenama EVOS Esports dan perhubungan awam, mengukuhkan lagi jenama ini menerusi kolaborasi bersama syarikat korporat lain dalam e-sukan.

Dalam perkembangan lain, EVOS Esports meraih AS$4.4 juta (RM18.2 juta) dana dalam Siri A sebagai usaha mereka untuk meluaskan pengaruh dalam pasaran pengurusan gaming influencer di rantau Asia Tenggara.

Menurut laporan Businesstimes.sg, dana sebanyak AS$ 3 juta itu disumbangkan oleh Insignia Venture Partners sementara dana tambahan AS$1.4 juta dari pelabur lain di Indonesia dan syarikat e-dagang terkemuka dari China.

Dana itu akan digunakan untuk mengembangkan lagi unit hiburan e-sukan mereka yang sekarang ini menguruskan 50 gaming influencers secara eksklusif dan hasil kerjasama dengan 250 bakat e-sukan. Mereka adalah pempengaruh (influencers) dalam e-sukan yang memfokuskan pada kandungan penstriman langsung dan platform kandungan.

Laporan itu juga menyebut pempengaruh popular EVOS boleh menjana pendapatan antara RM124,000 hingga RM248,000 sebulan. Ini menerusi inisiatif EVOS yang menyediakan kontrak penstriman, tawaran penajaan dari jenama serta acara khusus atau gig khas kepada mereka. Selain itu, pihak EVOS juga turut mengendali platform media sosial pempengaruh mereka dan mencipta kandungan di sebaliknya.