Ash pernah main League of Legends PC selama 7 tahun

By Hazrul Md Nor | March 9, 2022

RED Esports mendominasi MPL MY musim ke-9 setakat ini. Mereka berada di kedudukan tertinggi dengan 7 mata setakat minggu kedua. Mereka hanya tewas satu perlawanan di tangan pasukan Caracal.

Semua ahli pasukan RED sangat kuat ketika ini, mereka masing-masing memberikan persembahan yang terbaik untuk ditonton oleh peminat-peminat MLBB di luar sana.

Antara pemain yang mendapat spotlight di dalam pasukan RED Esports adalah pengguna mage iaitu Ashif Halaj “Ash” Abdul Majid. Penulis sempat melakukan temubual bersama Ash baru-baru ini.

Jejaka berasal dari Gombak, Selangor ini pernah bermain permainan video PC League of Legends sebelum beralih ke Mobile Legends. Dia bermain League of Legends selama 7 tahun dan menyatakan Mobile Legends lebih mudah untuk dimainkan kerana hanya perlukan peranti mudah alih.

“Bermain bersama pasukan RED Esports sangat mudah bagi saya, ini kerana kami mempunyai keserasian di antara satu sama lain hasil daripada latihan yang sangat banyak bersama pasukan,” katanya.

Ketika ditanya tentang penggunaan hero mage, Ash berkata hero mage adalah peranan yang penting dalam pasukan.

“Pada masa sekarang, saya sangat mahir menggunakan hero mage. Bagi mereka yang ingin mencuba hero-hero ini, hanya perlu jaga posisi, nyawa anda dan melakukan follow up bersama pasukan. Yang penting anda harus jaga diri supaya tidak ditumbangkan di dalam pertarungan,” ujarnya.

Ash juga berharap RED Esports akan mengekalkan momentum yang ada dan InsyaAllah mereka akan dapat capai sasaran pada musim ini.

Selain itu, jurulatih pasukan RED Esports iaitu SoraPayung baru sahaja melakukan debut ke dalam pasukan untuk musim ini.

Ash mempunyai pandangan sendiri terhadap jurulatih itu.

“Sora adalah seorang jurulatih yang sangat berkebolehan dari segi sikap, pemikiran juga strategi,” akhirinya di dalam temubual.