Atlet Esports PES 2018 Di Sukan Asia 2018, Haikal & Keron Sertai Antzgaming

By Intan Mawarni | October 18, 2018

Atlet esports Pro Evolution Soccer (PES) negara, Mohamad Norhaikal Mohamad Noh “Haikal” dan Muhamad Khairul Abdul Aziz “Keron” mengumumkan mereka sudah pun menyertai kelab baru.

Haikal dan Keron telah berhijrah masuk ke kelab Antzgaming. Sebelum ini, mereka pernah menyertai kelab Alpha Gaming dan berlatih bersama-sama sehingga memperolehi tempat keempat dalam demonstrasi kejohanan esports untuk PES 2018 di Sukan Asia 2018 pada bulan Ogos lepas.

Ketika dihubungi oleh MyGameOn, Haikal berkata, “Penyertaan ke kelab Antzgaming membuka haluan baru untuk mengasah bakat kami dalam PES 2019 dan meneruskan kerjaya kami sebagai atlet esports di Malaysia untuk tahun 2019.”

Turut tumpang perasaan sama, Keron berkata, “Kami mahu mencari pengalaman lain daripada lain sambil menimba ilmu bagi meningkatkan kebolehan kami untuk PES 2019.”

Selepas penglibatan mereka di Sukan Asia 2018 dan juga SUKMA Perak, Haikal dan Keron juga berkongsi mereka pernah mendapat tawaran untuk menyertai pasukan Frostfire. “Tetapi, skil saya dan Keron masih lagi dalam tahap sederhana, jadi kami mengambil langkah untuk melatih diri menjadi lebih bagus bersama Antzgaming,” kata Haikal.

Pengasas Antz E-Sport Centre, Mohamad Nazanurin bin Mohamad Nawawi berkata, “Kami berasa bangga dapat menyambut kemasukan dua pemain PES yang pernah membawa nama Malaysia ke Sukan Asia 2018 ke dalam kelab kami.”

Sama seperti sukan bola sepak sebenar, Haikal sebenarnya pernah sertai kelab Antzgaming sebelum dia bertukar ke kelab lain. Kali ini, dia kembali bermain PES 2019 bersama kami.”

Kedua-dua atlet esports, Haikal dan Keron kini berada di bawah pimpinan kapten Azri Jepon yang sedikit sebanyak melatih mereka berdua untuk PES 2019 dikeluarkan pada 28 Ogos lalu. Edisi baru PES membawa banyak perubahan terhadap corak permainan PES Haikal dan Keron.

“Jepon banyak mengajar kami teknik dan skil gameplay untuk PES 2019. Dia tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dengan kami langsung,” ujar Keron.

Dengan penggalakan arena e-sukan dalam Hari Sukan Negara 2018, duo atlet esports ini turut menyertai kejohanan e-sukan Hari Sukan Negara di peringkat negeri. Haikal berjaya menjuarai kejohanan e-sukan di Melaka dan mendapat tempat kedua di Johor manakala Keron pula menjuarai kejohanan e-sukan di Kedah.

Hasil kejayaan mereka akan memacu mereka dalam persediaan untuk bertanding di Selangor Cyber Games pada akhir bulan Oktober yang mana juara bagi kategori PES 2019 akan memenangi wang tunai sebanyak RM20,000.