Baby Harith Menyerikan Kehidupan Pemain Profesional Mobile Legends, 2ez4jepv Dan Keluarga

By Hazril Md Nor | January 7, 2020

Bapa dan juga penghibur penstriman langsung sepenuh masa, Mohd Haqqani Jaffar atau 2ez4jepv menganggap kerjayanya sekarang banyak mengajar erti tanggungjawab selain perlu membahagikan masa dengan betul bersama keluarga.

Dia yang juga pemain profesional Mobile Legends: Bang Bang kini dikurniakan seorang cahaya mata, Daeng Muhammad Harith. Katanya, sebelum ini dia sudah melatih diri untuk membahagikan waktu antara kerja dan masa bersama isteri, Syahaitul Akma Mazlan atau Bebbie VJ.

Jep bersama isteri

“Dulu sebelum menikah, kami berhubungan berjarak jauh, dia di Sarawak dan saya di Johor. Saya hanya akan ke Sarawak tiga bulan sekali untuk berjumpa dengannya dan keluarga.

“Kini sudah berkahwin dan mempunyai anak, ada pula cabaran lain seperti membahagikan masa antara pasukan dan latihan, biasanya dari tengahari sampai petang.

“Waktu malam dan pagi adalah masa terluang bersama keluarga. Lagipun, isteri dah faham kerjaya saya macam mana jadi tak ada isu sangat,” katanya.

 

Buka akaun IG @babyharithwuhoo

Baby Harith yang comel jadi tumpuan peminat dan kawan-kawan.

Dikurniakan cahaya mata pertama ini menyerikan kehidupan mereka sekeluarga. Memandangkan isterinya gemar memuat naik foto dan video Harith di IG Story & FB, dia terfikir kenapa tidak untuk buka akaun di Instagram.

“Ramai orang menyukai gelagat anak kami dan kami terima maklum balas positif. Ada juga yang PM isteri untuk minta buatkan akaun IG untuk Harith.

“Jadi dari situlah tercetusnya idea untuk akaun IG @babyharithwuhoo ini. Saya pun dengan spontan setuju sahaja.

“Kalau kawan-kawan nak tengok gelagat anak kami boleh ke situ,” katanya.

Akaun Instagram tersebut kini sudah diikuti lebih 700 pengguna dan memuatkan 72 postings gelagat Harith yang kini berusia empat bulan.

Jep menambah, ia tak terhenti setakat di situ apabila ramai pula yang menanyakan di mana Harith (ketika dia sedang livestream).

“Sebelum saya nak bermain game dalam livestream, saya akan bawakan Harith terlebih dulu. Mungkin mereka suka tengok Harith sebab dia tembam kot,” katanya ketawa.

Jep berkata, jika diberi masa terluang selepas ini, dia akan terus livestream dengan kerap bersama anaknya di Facebook mahupun di Instagram.

 

Streaming satu rezeki yang tak disangka

Menurut Jep, dia bersyukur kepada Allah kerana memperluaskan lagi pintu rezeki buatnya sekeluarga.

“Memang betul orang cakap, kalau kahwin, Allah akan memudahkan segala urusan apabila berkeluarga. Jadi bila dah anak, Allah mempermudahkan lagi urusan dan menambah rezeki.

“Sekarang saya selesa berkerjaya sebagai penghibur penstriman langsung. Alhamdulillah, akan buat apa yang terbaik untuk kerjaya dan juga keluarga kecil kami,” katanya.

Sebagai seorang bapa dan gamer, Jep menasihatkan kepada golongan seumpamanya yang ingin menceburi bidang penstriman dan e-sukan, ia bukanlah mudah.

“Banyak cabaran dan halangan untuk sampai ke tahap ini.

“Saya nak ingatkan kepada bapa yang minat bermain game dan berbakat (kenalah ada satu matlamat nak capai) sama ada jadi penghibur penstriman langsung atau pemain profesional.

“Yang penting, keluarga kena tahu apa tujuan dan matlamat anda dalam bidang ini. Kunci utama adalah tetapkan pendirian,” katanya mengakhiri perbulan.

(Foto: Mohd Haqqani Jaffar)

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.