“Banyak perkara saya belajar sebagai ketua jurulatih,” – Pabz

By Hazril Md Nor | June 22, 2022

Pencapaian Orange Esports mendapat gelaran naib juara di MPL MY musim kesembilan dan tempat kelima di MSC 2022 adalah satu pengalaman tak dapat dilupakan.

Bagi Ketua Jurulatih Orange Esports, Khairul Azman Mohd Sharif (Pabz), dia melahirkan rasa teruja kerana ini adalah kali pertama dirinya menyertai arena profesional.

“Sejujurnya banyak perkara saya belajar sebagai ketua jurulatih.

“Perasaan saya sangat gembira dan bersyukur dengan apa kami peroleh hasil usaha semua pemain dan kerjasama dari pihak pengurusan.

“Dalam apa apa pekerjaan, cabaran tetap akan ada dan cabaran yang paling besar sepanjang musim ini adalah untuk mendapatkan momentum dengan draft yang ‘try and error’ sepanjang MPL MY dan MSC,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

Tidak lupa akan sokongan peminat, dia mengucapkan terima kasih kepada yang sentiasa menyokong dari awal dan yang membantunya.

“Terima kasih kepada yang mengajar saya dari segi strategi, meta dan ketahanan mental.

“InsyaAllah, semua yang saya belajar ini akan saya terapkan dalam pasukan saya pada masa akan datang,” katanya.

Pabz kini kembali ke Team Haq sepertimana pemain-pemain iaitu Mann, Minn, Garyy dan Lolla yang tamat kontrak hasil kolaborasi bersama Orange Esports.

Difahamkan, kontrak mereka hanya untuk MPL MY S9 tapi dipanjangkan ke MSC 2022 kerana memenangi slot ke kejohanan Asia Tenggara diadakan di MITEC, Kuala Lumpur itu.

Dalam pertembungan selama tujuh hari itu, Orange Esports berjaya menghantar pasukan Singapura, RSG SG ke lower bracket sebelum tewas di tangan RSG PH dan kemudian kalah tipis dengan OMEGA yang juga dari Filipina.

Foto: MOONTON Games