Bilakah masa yang sesuai untuk membeli PS5?

By Burhanudin Zamri | December 30, 2020

Konsol terkini daripada Sony iaitu PlayStation 5 (PS5) telah tiba di Malaysia pada awal bulan Disember tahun ini. Malangnya, tidak ramai orang berpeluang membeli konsol tersebut yang dikeluarkan dalam bilangan yang amat terhad akibat pandemik COVID-19.

Pada pendapat penulis, peminat konsol PlayStation di Malaysia yang terlepas peluang membeli PS5 tidak patut rasa begitu kecewa. Terdapat beberapa faktor yang membuatkan pembelian PS5 pada tahun depan lebih berbaloi berbanding membelinya pada waktu pelancaran.

 

Katalog permainan eksklusif yang terhad

Apabila sebuah konsol baharu dilancarkan, ramai pemain teruja untuk melihat permainan-permainan eksklusif baharu yang akan hadir bersamanya. Permainan-permainan ini dipanggil permainan pelancaran eksklusif atau exclusive launch titles.

Hal ini demikian kerana permainan-permainan tersebut dianggarkan mempunyai penambahbaikkan dari segi grafik dan skala berbanding permainan generasi dahulu.

PS5 hanya hadir dengan satu permainan pelancaran eksklusif iaitu Demon’s Souls. Permainan-permainan lain yang dilancarkan di PS5 setakat ini juga boleh dimain di konsol dan platform lain termasuklah PlayStation 4 (PS4).

Antara permainan-permainan hebat yang dilancarkan di PS5 dan juga PS4 ialah Spider-Man: Miles Morales, Assassin’s Creed: Valhalla, Watch Dogs: Legion, dan FIFA 21.

Perbezaan ketara antara versi PS5 dan PS4 hanyalah kualiti grafik dan kadar bingkai. Menurut ramai pemain dan pengkritik, kepuasan permainan versi PS4 tidak begitu ketinggalan berbanding versi PS5.

Penulis percaya PS5 lebih berbaloi dibeli pada masa depan apabila ia mempunyai lebih banyak permainan eksklusif. Antara permainan-permainan eksklusif yang dinanti-nantikan ialah Gran Turismo 7, Ratchet and Clank: Rift Apart, dan God of War: Ragnarok.

 

Masalah teknikal keluaran pertama

Model pertama apa-apa produk elektronik sering menghadapi masalah teknikal yang akan diperbaiki dalam keluaran-keluaran yang seterusnya. Perkara ini juga berlaku kepada konsol permainan baharu.

Setakat ini, terdapat beberapa aduan daripada pemilik PS5 dari seluruh dunia seperti konsol dimatikan secara sendiri, permainan tidak dimuatkan dengan betul, dan banyak lagi.

Apa yang membuatkan situasi sebegini menjadi lebih teruk ialah stok terhad PS5 mengakibatkan para pemilik PS5 yang rosak terpaksa tunggu pada tempoh yang lama untuk menerima penggantian.

Bukan semua pemilik PS5 menghadapi masalah-masalah ini tetapi penulis rasa lebih baik kita mengambil langkah jaga-jaga dan menunggu keluaran yang seterusnya.

 

Penurunan harga konsol dan permainan

Permainan video ialah satu hobi yang sangat mahal, lagi-lagi di Malaysia di mana harga permainan video baharu PS4 dan PS5 selalunya berharga lebih daripada RM200. Malangnya, permainan video konsol PlayStation dinaikkan harga lagi pada generasi ini.

Sebelum ini, permainan video PS4 baharu yang berkualiti AAA seperti The Last of Us Part II dijual pada harga RM239. Permainan video PS5 baharu yang berkualiti AAA seperti Demon’s Souls kini dijual pada harga RM299.

Harga permainan semestinya akan menurun pada masa depan. Contohnya, The Last of Us Part II yang dilancarkan pada bulan Jun tahun ini kini dijual pada harga serendah RM119.50 apabila jualan istimewa diadakan.

PS5 Digital Edition dijual pada harga RM1,869 dan versi biasa dijual pada harga RM2,299. Kedua-dua harga ini mungkin tidak akan turun dengan begitu cepat tetapi penulis yakin apabila stok baharu tiba pada tahun depan, mereka juga akan dijual dalam bentuk bundle.

Kemungkinan besar terdapat bundle di mana pembeli menerima satu mainan percuma atau satu alat kawalan DualSense percuma. Pakej bundle seperti ini sudah menjadi kebiasaan untuk konsol PS4 di mana anda boleh menerima permainan percuma apabila membeli konsol.