Borderlands 3 Rasmi Diumumkan Oleh Gearbox

By Intan Mawarni | March 29, 2019

Setelah diacah beberapa kali, akhirnya Gearbox mengumumkan Borderlands 3 di Penny Arcade Expo (PAX) East 2019.

Borderlands 3 merupakan game berbentuk looter shooter dalam perspektif kamera first-person dengan elemen role-playing game (RPG) dan boleh bermain secara co-op seramai 4 pemain. Borderlands mula dilancarkan pada 2009, kemudian diikuti oleh Borderlands 2 pada 2012 dan Borderlands: The Pre-Sequel pada 2014.

Trailer untuk game Borderlands terbaru ini memaparkan berbilion senjata pelbagai warna dan fungsi lucu seperti senapang yang ada kaki dan tangan. Turut serta, peminat tentu teruja dengan penampilan karakter-karakter dari game terdahulu seperti Tiny Tina (bukan ‘Tiny’ lagi), Brick (bermain saksofon), Siren dan karakter baru dengan kuasa baru.

Terdapat juga kemunculan penjahat dan lokasi baru yang pemain boleh terokai untuk jadi Vault Hunter sebenar. Saksikan trailer Borderlands 3 yang dinanti-nantikan di bawah:

https://www.youtube.com/watch?v=d9Gu1PspA3Y

Buat masa sekarang, Gearbox belum umumkan tarikh rasmi Borderlands 3 dan juga platform yang disediakan. Pembangun kepada siri shooter RPG ini akan mendedahkan segalanya pada 3 April 2019.

Bukan itu sahaja, Borderlands: The Handsome Collection iaitu sebuah pek yang menggabungkan dua game: Borderlands 2 dan Borderlands: The Pre-Sequel bakal dipertingkatkan dari segi visual 4K di PC, PS4 dan Xbox One pada 3 April.

Berita baik juga kepada yang teringin main Borderlands 1, Borderlands: Game of The Year Edition akan mengembalikan memori kepada game pertama yang merevolusikan francais shooter RPG termasuk kesemua DLC seperti senjata, kosmetik dan peti emas yang juga akan hadir pada 3 April untuk PC, PS4 dan Xbox One.