Bountee Esports bakal melancarkan gim e-sukan pertama di Sarawak

By Habil Izzat | April 7, 2022

Ditubuhkan pada 2019, organisasi Bountee Esports kini mengambil satu langkah besar pada tahun ini bagi mengembangkan operasi mereka dengan kerjasama bersama pelbagai rakan kongsi tempatan di seluruh negara dan di seluruh dunia.

Bountee Esports memberikan tumpuan untuk memperkasakan belia melalui e-sukan dan mereka berusaha untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan kerjaya untuk golongan ini, terutamanya pemain dan peminat e-sukan.

Pada masa ini, gim e-sukan mereka masih dalam pengubahsuaian dan mereka menyasarkan untuk beroperasi sepenuhnya menjelang Jun, atau mungkin sedikit lewat.

Perkataan “Gim” melambangkan latihan, pembangunan dan peningkatan kemahiran.

     

Gim e-sukan ini terdiri daripada pusat latihan & pembangunan, bilik perlawanan (untuk pertandingan), bilik produksi dan simulator perlumbaan.

Ia juga menyediakan perkhidmatan seperti kecergasan mental dan kajian tingkah laku menggunakan Psikologi Moden disebabkan salah seorang pengasas mereka adalah pengamal Psikologi Moden bertauliah dan Jurulatih Bertauliah HRD Corp.

Walau bagaimanapun, gim e-sukan ini tidak dibuka kepada orang ramai tetapi mereka akan mempertimbangkan perkara ini dalam masa terdekat.

Memandangkan mereka sedang bersedia untuk memperkasakan belia di Sarawak, mereka sedang mencari belia yang berbakat di daerah Kuching untuk menyertai pasukan mereka.

Maklumat lanjut mengenai perkara ini akan disiarkan di halaman Facebook Bountee Esports tidak lama lagi.

Bountee Esports juga akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), kementerian lain di Sarawak dan agensi e-sukan di Malaysia melalui kelulusan Persatuan E-sukan Sarawak sebagai badan utama negeri bagi menjaga industri e-sukan di negeri itu.

Mereka juga terbuka untuk bekerja dengan mana-mana individu, organisasi atau syarikat berada dalam haluan yang sama.

Presiden Persatuan E-sukan Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi menyatakan, “Bountee Esports adalah contoh yang terbaik bagi organisasi e-sukan di Sarawak kerana pendekatannya yang unik dan pemikiran inovatif.

“Ini akan menjadi penanda aras bagi organisasi e-sukan lain di Sarawak,” katanya.

Persatuan E-sukan Sarawak (SESA) akan menyokong penuh inisiatif Bountee Esports dan Afiq juga berkata bahawa mekanisme akan diterokai bagi memperkasakan Bountee Esports, menjadikan mereka pusat latihan e-sukan untuk atlet SUKMA e-sukan atau mana-mana atlet e-sukan yang akan mewakili Sarawak pada masa hadapan.

Anda semua boleh mengikuti Facebook Bountee Esports untuk mendapatkan maklumat yang terkini.

Foto: Bountee Esports