BTR RA kemungkinan akan dirombak, jurulatih baru bakal dicari

By Hazril Md Nor | May 9, 2022

Walaupun dengan ketiadaan bekas jurulatih Muhammad Farhan (JangS), pasukan PUBG Mobile Indonesia, BTR RA juga gagal mencari rentak bagi melayakkan diri ke PMPL Asia Tenggara yang akan berlangsung pada 10 Jun ini di Kuala Lumpur, Malaysia.

Difahamkan, pengunduran jurulatih dari Malaysia itu pada 27 April lalu sedikit sebanyak menimbulkan persoalan kerana netizen mendakwa pasukan itu gagal menemui rentak lalu kesalahan itu diletakkan pada jurulatih.

Malah, serangan peribadi di Instagram JangS juga cukup memberikan gambaran bahawa ramai tidak berpuas hati dengan prestasi BTR RA.

Namun, selepas JangS keluar, BTR RA menyaksikan antara prestasi yang merudum dalam sejarah pasukan mereka apabila mendapat tempat tercorot di Play-Ins serta gagal layak ke peringkat Asia Tenggara bagi tahun ini.

Ini kerana mereka tiada jurulatih baru bagi menggantikan posisi JangS. Justeru, CEO BTR, Edwin Chia memberi bayangan pemilihan jurulatih sudah hampir tamat.

Dengan tanda pagar #NewRA, kemungkinan roster ini bakal melalui rombakan besar-besaran.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, BTR RA pernah digeruni sebagai antara pasukan PUBG Mobile terbaik di dunia dengan memenangi beberapa kejohanan dunia.

Pada pusingan play-ins semalam, BTR RA mencatatkan hanya 17 mata dalam kelayakan itu seterusnya gagal menempah slot.

Bagi karier JangS, dia akan membantu pasukan PUBG Mobile Malaysia untuk bertanding di Sukan SEA 2021 kelak.

Sumber: Liquipedia

Foto: Bigetron Esports