China Halang Muat Turun Permainan Video Tentang Penyebaran Wabak

By Burhanudin Zamri | March 2, 2020

Sejak bermulanya penyebaran COVID-19, permainan video Plague Inc. telah menjadi sangat popular tetapi ada pihak yang tidak senang dengan perkara ini.

Pada beberapa hari yang lepas, Ndemic Creations mengumumkan bahawa Plague Inc. kini tidak lagi boleh dimuat turun di Apple App Store untuk negara China.

Ndemic Creations ialah studio pembangun yang membangunkan Plague Inc. Mereka berkata mereka tidak mampu membuat apa-apa untuk menghalang perkara ini daripada berlaku.

Mereka hanya diberitahu Plague Inc. “mempunyai pengisian yang menyalahi undang-undang China yang ditetapkan oleh Pentadbiran Ruang Siber China” semasa aplikasi tersebut dibuang dari App Store China.

Plague Inc. ialah sebuah permainan video strategi dan simulasi yang menugaskan pemain untuk menghasilkan sebuah penyakit atau wabak demi menghapuskan semua manusia di muka bumi.

Ada kemungkinan besar kerajaan China melarang permainan video ini kerana ia boleh menimbulkan salah faham dan panik tentang isu COVID-19.

Walaubagaimanapun, Plague Inc. sering digunakan untuk tujuan pendidikan. Ia juga diiktiraf oleh pertubuhan-pertubuhan yang dihormati seperti Centers for Disease Control and Prevention (CDC).

Menurut App Annie, Plague Inc. menjadi aplikasi yang paling banyak dimuat turun sejak hujung Januari sehingga pertengahan Februari tahun ini.

Ini menunjukkan penyebaran COVID-19 sememangnya meningkatkan kesedaran dan perasaan ingin tahu tentang wabak penyakit dalam kalangan penduduk China.

Ndemic Creations berkata mereka akan menghubungi Pentadbiran Ruang Siber China secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah ini.

Sumber: Ndemic Creations

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.