COVID-19: PKP Bukan Alasan Tak Boleh Bersenam, Tiga Gamers Kongsi Pengalaman

By Hazril Md Nor | March 30, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan saja menghalang pelbagai aktiviti di luar tapi turut memberi kesan kepada gamers yang membina badan di gymnasium.

Tapi ia bukan bermakna pengakhiran buat mereka kerana ada antara mereka yang menetapkan rutin baru untuk workout di rumah.

Ikuti pengalaman tiga gamers ini.

 

Tiada kelengkapan bukan satu masalah

 

Bagi Amirul Afiq Saharuddin atau eruLLLFPS, 25, dia mempunyai rutin berbeza bagi setiap set workout yang dibuat sebelum PKP dan ketika PKP. Katanya, disebabkan peralatan di gymnasium lebih lengkap, dia memilih untuk ke sana dengan kerap.

“Sebelum PKP, saya membahagikan hari hari tertentu untuk setiap bahagian muscle. Sebagai contoh, hari Isnin akan fokus pada bahagian dada dan tricep, Selasa pula bicep dan belakang. Hari Rabu lebih bebas sikit dengan senaman kardio untuk merehatkan otot,” katanya.

Apabila PKP bermula dan ramai yang perlu duduk rumah, dia menukar rutin senamannya.

  • Jumping jacks 100 kali dan jump rope selama lima minit. 
  • Bodyweight squats 30 reps
  • Lunges 10 reps sebelah
  • Forward leg swings 15 reps sebelah
  • Push ups 20 reps – 3 sets
  • Plank 20 saat – 3 sets
  • Chin ups 15 reps – 3 sets
  • Dips 15 reps – 3 sets
  • Reverse crunches 10 reps – 3 sets

Tambah Amirul, sebagai pemain kompetitif PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG), aktiviti bina badan juga membantunya fokus untuk mengenakan lebih banyak headshot dalam perlawanan.

 

Tajamkan fokus dalam perlawanan

Bagi Abdul Hakiem Tajudin atau RanGeR, 22, dia sudah lama mengidam untuk mempunyai badan yang sasa dan sihat sejak kecil.

“Ayah saya seorang bekas atlet bina badan, dia menjadi sumber inspirasi kepada saya untuk terus aktif membina badan. 

“Pada masa yang sama, saya ingin mempromosikan ‘healthy gaming’, iaitu gamer bukan sekadar duduk rumah main game dan tidak bersenam,” katanya.

Tambah Hakiem, aktiviti bina badan membantunya untuk fokus dalam perlawanan.

“Ia membantu saya dari segi mental dan fizikal malah ada kajian sains membuktikan kalau kita sering bersenam minda akan jadi lebih cerdas. Ini penting bagi seorang atlet e-sukan seperti saya kerana mahu membuat keputusan yang tepat ketika latihan dan juga masa pertandingan.

“Saya kurang bersetuju kalau kita duduk rumah hanya main game. Gunakan masa yang ada untuk cabar diri jadi lebih sihat mungkin dengan menetapkan matlamat peribadi sehingga berakhirnya PKP,” jelasnya.

Hakiem juga menasihatkan bagi yang ingin memulakan aktiviti bina badan ketika PKP, terdapat banyak cara untuk melakukannya. Antaranya dengan bertanya kepada rakan yang melakukan home workout ataupun dengan belajar dari Youtube. 

 

Lain situasi di Singapura

Di Kota Singa, lain pula situasinya. Bagi Izzul Amin, dia masih boleh ke gymnasium pada waktu pagi kerana tidak begitu ramai orang dan tak perlu menunggu giliran.

“Penjarakkan sosial di Singapura bermaksud hanya seorang saja yang boleh berada dalam 16 meter persegi di ruang boleh digunakan. Jadi dalam situasi saya, hanya 17 orang dibenarkan untuk ke gym pada satu-satu masa.

“Sebelum ini, saya hanya ke gym pada waktu tengahari dan lewat malam selepas makan malam selesai,” katanya.

Kata Izzul, dia tidak bermain secara kompetitif buat masa sekarang kerana arena professional Call of Duty tidak meriah seperti dulu melainkan dengan perlawanan 2v2 dalam talian yang sepatutnya diadakan secara offline

Sama seperti Hakiem, dengan membina badan dapat membantu untuk lebih fokus dalam perlawanan.

“Saya yakin dengan menjadi fit boleh bantu saya bermain secara kompetitif sebab saya tak hanya duduk di rumah dan main game tapi juga menjaga kesihatan,” jelasnya.

Kata Izzul, dia banyak meluangkan masa dengan keluarga dan rakan ketika undang-undang Penjarakkan Sosial dikuatkuasakan di Singapura.