Diablo Immortal & Banyak Lagi Game Mobile Sedang Dibangunkan Oleh Blizzard

By Intan Mawarni | November 9, 2018

Pengumuman Diablo Immortal telah membangkitkan kemarahan ramai kipas-susah-mati Diablo terhadap pertukaran game klasik PC ini kepada mobile. Korang mesti terfikir, “adakah Blizzard membuat percaturan yang salah dan mungkin akan ikut kehendak peminat selepas ini?”

Meskipun dapat kecaman teruk di BlizzCon, ini tidak mematahkan semangat Blizzard untuk membangunkan game mobile berdasarkan IP asal mereka. Malah, pengasas bersama Blizzard merangkap penerbit eksekutif Diablo Immortal, Allen Adham berkata Diablo Immortal adalah sekadar permulaan untuk rangkaian game mobile yang lain dari Blizzard.

Ramai suka main game mobile

Dalam satu sidang media, Adham bersama pereka utama Blizzard, Wyatt Chang mendedahkan satu transformasi besar di tempat kerja apabila hampir kesemua pembangun Blizzard kini lebih cenderung bermain game di mobile berbanding di PC. Korang boleh saksikan temuramah bersama mereka berdua di bawah:

Apabila ditanyakan pendekatan Blizzard terhadap game mobile, Adham jawab pada minit ke-2, “Ramai daripada kami sudah bertukar arah dalam cara permainan kami dari bermain khususnya di PC sehingga menghabiskan banyak masa bermain di mobile. Rata-rata pembangun terbaik kami sedang membangunkan game mobile baru merentasi seluruh IP asal kami.

“Beberapa game mobile itu sedang dibangunkan dengan kerjasama syarikat luar seperti Diablo Immortal. Banyak game mobile juga sedang dibangunkan dari dalaman sahaja dan kami akan ada maklumat untuk dikongsi berkenaan perkara ini pada masa akan datang.”

Mobile gaming hampir serupa dengan PC dan konsol

Adham turut memberi sebab utama kenapa Blizzard membuat keputusan untuk bangunkan Diablo dalam versi mobile. Menurut Adham, teknologi telefon pintar zaman sekarang membolehkan pengalaman bermain game yang setanding dengan PC dan konsol walaupun  terdapat beberapa perbezaan dari segi rentak permainan dan mekanik permainan.

Yang penting, ini membuka peluang kepada Blizzard untuk memperkenalkan Diablo kepada audiens lebih luas di seluruh dunia yang kebanyakkannya lebih suka bermain game melalui mobile terutamanya kepada gamers generasi muda.

Seperti yang korang tahu, Blizzard memilih untuk bangunkan Diablo Immortal dengan NetEase terkenal dengan game mobile seperti Rules of Survival dan Knives Out setelah bekerjasama selama 10 tahun. “Objektif utama kerjasama antara dua syarikat ini adalah kami bercita-cita untuk membangunkan sebuah game mobile action role-playing game (RPG) yang memberi pengalaman Diablo sebenar dan boleh diterima oleh audiens Barat dan juga Timur,” kata Adham.

Diablo 4 mana? Mana?

Reaksi kurang enak terhadap Diablo Immortal yang diberikan oleh peminat Diablo mungkin agak keterlaluan. Pereka utama, Chang menerimanya dengan hati terbuka, “Kami faham ada ramai peminat tegar ragu-ragu dengan game mobile ini. Pada pendapat saya, perasaan was-was adalah amat penting bagi kami kerana ini boleh dorong kami untuk hasilkan Diablo Immortal lebih baik.”

Kalau korang masih lagi menanti Diablo 4, jangan risau. Adham berkata, “Untuk peminat PC tegar kami, kami masih lagi ada beberapa projek Diablo yang tidak diumumkan lagi sedang dibangunkan oleh beberapa pasukan pembangun Diablo. Kami tidak pernah lupakan langsung tentang projek (Diablo) ini.”

Maka, bersabarlah. Kita enjoy dulu Diablo Immortal ataupun korang boleh main Diablo 3 di Nintendo Switch pula.

Sumber: PC Gamer