Discord membatalkan rancangan penyepaduan NFT

By syazwanbahri | November 12, 2021

Aplikasi permesejan popular komuniti Discord dipaksa untuk membatalkan rancangan penyepaduannya dengan NFT berasaskan Ethereum (ETH) berikutan tindak balas yang kuat daripada sebilangan besar pangkalan penggunanya.

Penolakan bermula pada 9 November selepas pengasas dan CEO Discord, Jason Citron, menghatar satu kicauan disertai dengan tangkap layar halaman tetapan pengguna aplikasi yang memaparkan logo ETH dan pilihan untuk menyambungkan dompet digital seperti MetaMask dan Wallet Connect.


Citron kemudiannya dihujani dengan beribu-ribu komen yang menyerunya untuk meninggalkan rancangan itu dengan ancaman pengguna yang mengancam untuk membatalkan langganan Nitro. Kripto-skeptik menegaskan bahawa NFT adalah skim Ponzi dan merosakkan alam sekitar disebabkan oleh jumlah penggunaan tenaga yang digunakan untuk melombong mata wang kripto.

Walaupun Citron mengulas bahawa ciri itu berada dalam mod ‘pra-keluaran’, pada 11 November beliau menyatakan ia sudah berpindah ke mod ‘tiada keluaran’:

“Terima kasih untuk perspektif semua orang. Kami tidak mempunyai rancangan semasa untuk menghantar konsep dalaman ini. Buat masa ini kami menumpukan pada melindungi pengguna daripada spam dan penipuan.

“Web3 mempunyai banyak kebaikan tetapi juga banyak masalah yang perlu kami selesaikan pada tahap kepakaran kami,” kata Citron.

Pengguna aplikasi itu masih tidak berpuas hati, dengan ramai yang menyatakan bahawa walaupun penyepaduan NFT mungkin tidak berada dalam rancangan semasa mereka, itu tidak bermakna ia tidak akan berlaku pada masa hadapan.

Ia masih dapat dilihat jika Discord akan mencuba perkara lain yang berkaitan dengan mata wang kripto berikutan tindak balas ini.

Sumber rujukan: Dotesports