DOTA 2: Bekas Pemain Offlaner Fnatic, Ohaiyo Meluahkan Rasa Kecewa Di Facebook Miliknya

By Hazril Md Nor | January 15, 2018

Selepas MyGameOn berkongsi berita Ohaiyo meninggalkan Fnatic dan digantikan dengan bekas pemain EG, Saahil ‘Universe’ Arora, hari ini beliau memuat naik satu posting di Facebook untuk memaklumkan situasinya kepada komuniti Dota 2.

Dalam postingnya, Ohaiyo meluahkan rasa kesal kerana digantikan tempat tanpa pengetahuannya dan mendakwa pihak Fnatic mengambil kesempatan terhadapnya.

Dakwaan Ohaiyo juga berkaitan dirinya yang akan diganti tanpa mengira pusingan kelayakan ke ESL One Katowice dimenangi ataupun sebaliknya.

“Saya bukan kecewa kerana akan diganti tapi digunakan oleh ahli pasukan sendiri untuk kepentingan mereka (melepasi kelayakan Major).

“Mereka boleh saja gantikan saya dengan Universe tapi bukanlah bila kami dah menang kelayakan ke ESL One Katowice bersama-sama. Mungkin mereka risau akan kalah untuk ke Major jadi mereka buat keputusan untuk tak menukar Universe ke posisi saya ketika pusingan kelayakan berlangsung,”

Di laman web Fnatic pula, Chief Gaming Officer, Patrik ‘cArn’ Sattermon berterima kasih dengan Ohaiyo kerana banyak membantu organisasi itu.

“Kami berterima kasih kepada Ohaiyo kerana jasanya kepada pasukan dan organisasi secara menyeluruh. Sifatnya yang positif, professionalism dan kesetiaan kepada organisasi tak boleh disangkal lagi. Kami akan merinduinya dalam pasukan,” 

Kenyataan itu juga memetik bahawa Ohaiyo akan berada dalam organisasi itu buat masa ini tapi diberikan kebenaran untuk memilih sama ada ingin meneruskan karier di organisasi lain.

Ohaiyo antara pemain profesional e-sukan yang perform ketika bersama Fnatic sejak 2015. Beliau pernah membantu Fnatic mendapat tempat keempat dan membawa pulang wang tunai RM5.7 juta dalam kejohanan dunia Dota 2, The International 6.

Kami masih belum mendapat maklum balas daripada pengurus Fnatic, Eric Khor. Team MyGameOn akan terus update korang jika ada perkembangan terbaru daripada Fnatic. Nantikan!